Peluang Kerjaya Seorang Graduan Senireka / Rekaan Grafik.



Mutakhir ini saya menerima banyak pertanyaan berkenaan dengan peluang kerjaya bagi graduan lepasan rekaan grafik atau senireka grafik selain dari menjalankan perniagaan sendiri seperti yang saya sering cadangkan dalam artikel-artikel yang lepas.

Bidang senireka grafik ini pada kebiasaanya mempunyai lebih banyak permintaan di sektor swasta berbanding dengan sektor awam. Walaubagaimanapun, saya cuba berkongsi maklumat kerjaya untuk kedua-dua sektor supaya para graduan lepasan senireka grafik mendapat gambaran mengenai peluang kerjaya mereka.

Peluang-peluang kerjaya yang boleh direbut oleh graduan lepasan senireka grafik di dalam mahupun di luar Negara bertitik tolak dari kemahiran yang dimiliki oleh seseorang individu itu. Istilah ‘direbut’ yang saya gunakan adalah mencerminkan persaingan yang sengit dalam dunia pekerjaan yang perlu dihadapi oleh para graduan.

Manakala Istilah ‘graduan’ yang digunakan adalah bagi mewakili anda yang bertanya mengenai peluang pekerjaan dalam bidang senireka grafik ini. Pastinya istilah graduan adalah untuk lepasan sijil, diploma ataupun ijazah.

Sumber yang saya perolehi daripada laman web Suruhanjaya Perkhidmatan Awam atau SPA menyata atau mengariskan anda yang mempunyai sijil, diploma dan ijazah dalam bidang senireka grafik boleh bekerja di sektor awam sebagai : 


#01 Jawatan Sebagai Pereka. 


Gred : B19, B21, B25, B29, B31, B37, B41, B47, B51 , B53.

Kumpulan Perkhidmatan : Pengurusan & Profesional, Pelaksana (Skim Perkhidmatan Bersepadu)

Jawatan Pereka ini dikategorikan di dalam kelayakkan bakat sama seperti jawatan Ahli Muzik, Artis Budaya, Jurufotografi , Jurusolek dan sebagainya. Biasanya bagi mereka yang lepasan sijil, gred penjawatan bermula dengan gred B19, lepasan diploma Gred B29, lepasan Ijazah Sarjana Muda pula ber-Gred B41 dan peningkatan gred seterusnya ditentukan melalui pengalaman, prestasi dan juga kekosongan jawatan.

Mengikut pemerhatian saya, kebanyakkan kekosongan jawatan pereka ini adalah pada gred B19. Secara rasionalnya, jawatan ini lebih kepada kaedah lantikkan terus iaitu, anda perlu bermula dengan gred B19 dahulu dan kemudian memohon lantikkan terus mengikut kelayakkan semasa anda.

Terdapat beberapa syarat tambahan untuk lantikkan terus ini seperti tempoh pengalaman bekerja, tahap criteria kecemerlangan yang ditetapkan oleh ketua jabatan, had umur, serta kekosongan. Dalam bidang rekaan terutamanya rekaan grafik ini, ia senonim dengan persoalan sejauh mana kemahiran seseorang individu tersebut dapat dibuktikan.

Kelayakkan akademik bukan ukuran kepada cerminan kemahiran seseorang pereka, ia bergantung kepada bakat, pengalaman serta latihan berterusan untuk menghasilkan rekaan yang berkualiti dan berkesan. Maka, untuk ke gred penjawatan yang lebih tinggi, melihat pada kelayakkan akedemik semata-mata adalah tidak praktikal sebab itu kaedah lantikan terus lebih menjamin kualiti seseorang pereka itu.


#02 Jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan / Pegawai Pendidikan Pengajian Tinggi.


Gred : DG29, DG31, DG32, DG33, DG34, DG39, DG40, DG41, DG42, DG43, DG44, DG47, DG28, DG51, DG52, DG53, DG54. 
Atau
Gred : DH29, DH31, DH32, DH33, DH34, DH39, DH40, DH41, DH42, DH43, DH44, DH47, DH28, DH51, DH52, DH53, DH54. 

Kumpulan Perkhidmatan : Pengurusan & Profesional, Pelaksana (Skim Perkhidmatan Bersepadu)

Jawatan ini merupakan jawatan rebutan utama bagi bidang ini. Nama lainnya ialah jawatan sebagai guru atau tenaga pengajar yang akan ditempatkan di sekolah-sekolah mahupun di institusi-institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia tetapi bukan di universiti-universiti awam kerana pengambilan pensyarah di universiti awam bukan di bawah SPA tetapi dibawah universiti berkenaan.

Terdapat perbezaan antara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan dengan Pegawai Pendidikan Pengajian Tinggi. Selain dari berbeza dari segi gred DG dan DH, Jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan biasanya menjadi guru. Manakala Pegawai Pendidikan Pengajian Tinggi adalah jawatan bukan guru.

Mengikut pengalaman saya, ada 3 kategori yang perlu diketahui oleh anda yang berminat untuk merebut jawatan ini. 

  • Kategori memohon sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan di sekolah-sekolah awam. Pemohon perlu memohon di SPA dan akan dikendalikan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP). Temuduga akan dijalankan secara berpusat. 
  • Kategori memohon sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan di Institut Pendidikan MARA atau IPMa termasuk di Maktab Rendah Sains MARA. Pemohon perlu memohon di Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan akan dikendalikan oleh pihak MARA sendiri. Temuduga juga akan dijalankan secara berpusat yang dikenali sebagai MAC (Mara Assessment Center). 
  • Kategori memohon sebagai Pegawai Pendidikan Pengajian Tinggi di Politeknik-politeknik dan Kolej Komuniti. Pemohon perlu memohon di SPA dan akan dikendalikan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP). Temuduga akan dijalankan secara berpusat.

Oleh kerana jawatan ini menggunakan perkataan ‘pendidikan’ maka akan wujud persaingan oleh calon-calon dari institusi atau maktab perguruan dan program-program ijazah pendidikan di peringkat universiti. 

Persaingan yang amat sengit bakal dihadapi oleh calon yang hanya mempunyai diploma mahupun ijazah tanpa mempunyai diploma pendidikan ini. Hanya pengalaman yang luas dalam bidang pendidikan ataupun yang berkaitan dapat dipertimbangkan untuk bersaing merebut jawatan ini.

Pada kebiasaanya, temuduga untuk jawatan ini mempunyai beberapa peringkat iaitu:
  • Ujian Kompentensi (berkomputer / online)
  • Ujian Kecergasan (Fitness Test)
  • Ujian Micro Teaching
  • Temuduga Lisan
  • Ujian psikometrik
Dan pada kebiasaannya juga jumlah calon-calon yang bakal hadir adalah sangat ramai sehingga mencecah ratusan calon untuk suatu subjek atau program yang ditawarkan dan permohonan mencecah ribuan permohonan.

Seandainya anda menerima panggilan temuduga berpusat, anda masih boleh berbangga dengan pencapaian anda kerana anda berjaya terpilih dari ribuan permohonan. 

Itulah ayat panel penemuduga semasa saya hadiri temuduga jawatan ini. Mungkin untuk menyedapkan hati calon sahaja, agaknya. Namun, semuanya akan bergantung kepada rezeki dan prestasi anda semasa sesi interview. Sedikit kesilapan atau kekurangan pastinya bakal mengakibatkan anda terlepas jawatan ini.

Antara subjek yang boleh dipohon oleh graduan lepasan senireka grafik dalam jawatan ini ialah seperti:


1. Subjek di peringkat Sekolah Menengah Rendah termasuk di MRSM:
  • Pendidikan Seni



2. Subjek di peringkat Sekolah Menengah Tinggi termasuk di MRSM:
  • Subjek Elektif Rekacipta
  • Subjek Khas Seni Reka
3. Program di Politeknik:
  • Diploma Rekabentuk Grafik (Politenik Sultan Ibrahim, Johor & Politeknik Muadzam Shah, Pahang.)


4. Program di Kolej Komuniti:
  • Sijil Animasi
  • Sijil Multimedia Kreatif
  • Sijil Seni Visual Kreatif
  • Diploma in Games Art



5. Program di Institut Pendidikan MARA (IPMa)



#03 Jawatan Sebagai Kurator .


Kurator sememangnya tidak se-popular dua jawatan di atas tadi. Namun graduan lepasan rekaan grafik boleh mencuba untuk menjawat jawatan ini. Antara tugas-tugas seorang kurator bagi mereka yang masih belum tahu ialah :

Jawatan ini melibatkan tugas-tugas pengurusan dan pentadbiran, merancang, menyelaras dan melaksanakan aktiviti-aktiviti permuziuman seperti pameran, pemuliharaan dan konservasi benda-benda purba, penyelidikan arkeologi, flora dan fauna, kebudayaan negara, memberi khidmat nasihat permuziuman serta menyediakan laporan hasil kajian penyelidikan.

Jadi, bagi anda yang berminat dengan skop tugas sebagai seorang Kurator boleh memohon kerana dengan diploma dan ijazah dalam bidang rekaan grafik melayakkan anda untuk menjadi seorang Kurator.

Melalui pembacaan serta pengalaman saya, hanya 3 jawatan ini sahaja yang boleh dijawat oleh graduan lepasan rekaan grafik d idalam sektor perkhidmatan awam. Namun, terdapat jawatan dalam penjawatan awam yang bersifat umum yang boleh dicuba seperti :

1. Jawatan di dalam badan beruniform contohnya:
  • Pegawai Polis 
  • Pegawai Tentera
  • Pegawai Kastam
  • Pegawai Imigresen
  • Pegawai JPJ
  • Pegawai Penjara
  • Pegawai Bomba
  • Pegawai SPRM
  • etc

2. Dan mana-mana jawatan yang hanya memerlukan diploma atau ijazah dalam mana-mana bidang. Anda boleh meneruskan pembacaan di laman rasmi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam untuk mengetahui senarainya.






#04 Jawatan Sebagai Pereka Grafik.

Baiklah seterusnya mari kita lihat pula jawatan yang boleh direbut di sektor swasta. Seperti yang pernah saya kongsikan sebelum ini, terdapat banyak jawatan yang boleh direbut oleh graduan lepasan rekaan grafik tetapi, perlu juga saya ingatkan ia tidak semudah yang anda jangka kerana sektor swasta memerlukan calon yang:

1. Mempunyai kemahiran yang tinggi dan bukan hanya gred yang tinggi dalam pengajian.

2. Mempunyai pengalaman bekerja sekurang-kurangnya 2 tahun.

3. Mempunyai kemahiran tambahan yang lain antaranya:
  • Kemahiran pemasaran / pemasaran digital
  • Kemahiran membina laman web
  • Kemahiran videografi
  • Kemahiran fotografi
  • Kemahiran perisian
  • Kemahiran illustrasi manual mahupun digital
  • Kemahiran animasi 2D / 3D
  • Kemahiran bahasa (English , Mandarin,)

4. Mampu berdikari dan bekerja dalam pengawasan yang minima.

5. Mampu mencapai KPI dan dateline yang ketat.

6. Sedia dibuang kerja pada bila-bila masa andai tidak mencapai KPI.

7. Sanggup bermula dengan gaji minima.

8. Sanggup bekerja lebih masa dari yang sepatutnya.

Dan seumpamanya yang ditetapkan oleh majikan anda. Hampir ke semua agensi atau syarikat swasta memerlukan calon yang mempunyai ciri-ciri yang saya sebutkan tadi. Walaubagaimanapun, kebanyakkan syarikat swasta dari masa ke semasa akan memberi latihan kepada para pereka grafik mereka untuk sentiasa up-to-date dari segi kemahiran dan ilmu mereka.

Bukan maksud saya yang sektor awam tidak memerlukan ciri-ciri pekerja seperti di dalam sektor swasta, tetapi kebiasaanya sektor awam tidak ‘se-kejam’ sektor swasta. Mungkin ada yang tidak bersetuju dengan penilaian saya, tetapi kepada mereka yang pernah bekerja di kedua-dua sektor pasti anda boleh merasakannya.




Jawatan dalam sektor swasta biasanya hanya menawarkan satu nama jawatan tetapi ada kalanya mempunyai tambahan seperti:
  • Jawatan Pereka Grafik/ Graphic Designer
  • Jawatan Graphic Designer Cum Marketer
  • Jawatan Graphic Designer Cum Photographer
  • Jawatan Graphic Designer Cum Web Designer
  • Jawatan Graphic Designer Cum Visualizer
  • Jawatan Graphic Designer Cum etc….
Atau jawatan yang lebih tinggi tetapi jarang ditawarkan atas sebab-sebab pengalaman dan kemahiran yang sangat tinggi diperlukan. Biasanya ia di isi oleh staff atau pereka sedia ada yang telah berkhidmat lama dan telah menunjukkan prestasi yang membanggakan syarikat. Kira mereka naik pangkat dari jawatan pereka grafik. Jawatan itu ialah:
  • Art Director
  • Creative Director
Seperti juga di sektor awam, selain dari jawatan pereka grafik, anda juga boleh menggunakan diploma dan ijazah anda untuk bekerja di jawatan-jawatan yang memerlukan diploma atau ijazah dalam apa-apa bidang. Jawatan ini boleh anda cari sendiri melalui pembacaan di laman-laman web penyedia iklan jawatan kosong untuk mengetahui senarai jawatan tersebut.

Diharapkan perkongsian ini memberi manfaat kepada anda untuk mengetahui peluang-peluang pekerjaan untuk graduan lepasan rekaan grafik di sektor awam mahupun swasta. Semuanya bergantung kepada rezeki masing-masing yang telah ditentukan oleh Maha Esa. Adakalanya apa yang kita usahakan tidak membuahkan hasil tetapi percayalah , setiap yang telah ditetapkan adalah yang terbaik untuk kita. Bersyukurlah.

Sekian.

Powered by Blogger.