06 Nasihat Berguna Untuk Mahasiswa Universiti.
Buat sekian kalinya semester September 2017 ini mengabungkan sesi pengajian diploma dan ijazah sarjana muda dalam satu semester pengajian berbanding ia diasingkan sebelum ini.
Kepada mereka yang baru mendaftar sebagai pelajar universiti, pastinya pelbagai perasaan dapat dirasa. Gembira sebab dapat melanjutkan pelajaran dalam bidang yang dicita-citakan.
Sedih sebab kena berpisah dan berjauhan dengan keluarga tercinta dan macam-macam lagi perasaan yang silih berganti.
Berikut adalah nasihat penulis kepada adik-adik yang baru mendaftar sebagai mahasiswa dan mahasiswi terutamanya di Universiti-universiti tempatan.
#01 Pilih Rakan Yang Betul.
Sepanjang pengajian anda nanti, pastinya akan berkenalan dengan rakan-rakan yang baru dari pelbagai latar belakang keluarga dan keturunan.
Apa yang penting, anda perlu membuka mata hati seluas-luasnya agar dapat memilih rakan-rakan yang betul dan sesuai untuk dijadikan teman seperjuangan.
Pilihlah rakan yang mengutamakan solat fardhu, pilihlah rakan yang mempunyai akhlak yang baik, rakan yang membantu dengan ikhlas serta rakan yang memang nak berjaya dalam pelajaran dan kehidupan.
In sha Allah, dengan adanya rakan-rakan yang baik, proses pembelajaran anda juga akan menjadi lebih baik. Bercinta itu normal pada usia remaja seperti anda, penulis dulu pun belajar erti cinta di alam universiti dan ianya adalah fitrah manusia.
Namun, kekasih anda itu juga adalah dikategorikan sebagai rakan anda. Andai tersalah pilih, deritalah segalanya. Usah kerana kasih dan cinta pada kekasih, anda pertaruhkan masa depan anda.
Semailah rasa cinta dan kasih itu sebagai semangat tambahan untuk anda lebih kuat berusaha untuk mecapai cita-cita hidup bersama. Tahanlah rindu itu ye.
#02 Kenali & Dekati Tenaga Pengajar.
Ini adalah sangat penting, kerana ilmu yang bakal anda pelajari bergantung kepada keikhlasan tenaga pengajar dalam berkongsi ilmu berkenaan.
Anda memerlukan juga kepakaran dan pengalaman mereka untuk membentuk anda menjadi pakar dalam bidang seperti tenaga pengajar tersebut.
Seorang pensyarah kalau tak kenal semua pelajarnya itu adalah perkara biasa. Namun, andai seorang pelajar tidak mengenali guru atau pensyarahnya, itu adalah perkara yang luar biasa.
Dekati pensyarah bukan bermaksud anda perlu ‘kipas’ pensyarah tersebut sehingga ia memberi markah tinggi untuk tugasan anda, tetapi ia bermaksud anda perlu hormati dan hargai jasa serta pengorbanan mereka dengan sentiasa memberi bantuan dan pertolongan apabila mereka memerlukan serta sentiasa berperangai yang memudahkan proses pembelajaran dan pengajaran dalam kuliah mereka.
Bagaimana? Caranya adalah dengan sentiasa:
- Datang kuliah mereka, kalau tak boleh hadir, beri surat tunjuk sebab dan memberitahu kepada mereka secara formal.
- Beri penumpuan dalam kelas mereka, buat nota sendiri dan tidak hanya mengharap hand out dari pensyarah sahaja.
- Hantar tugasan yang mereka arahkan tepat pada masanya. Dan buat dengan bersungguh-sungguh.
- Banyakkan pertanyaan semasa atau di dalam kelas, bukan selepas kelas atau di waktu tengah malam walaupun ianya tidak menjadi satu kesalahan.
- Extra kalau anda boleh memberikan ucapan sempena hari lahir, hari guru, hari buruh ,hari raya dan sebagainya yang sesuai dengan norma-norma kemasyarakatan.
- Memberi bantuan dengan ikhlas andai mereka memerlukan bantuan dari segi tenaga, idea selagi tidak melanggar suruhan agama dan undang-undang Negara.
#03 Belajar Untuk Ilmu.
Tujuan anda mempelajari sesuatu itu adalah untuk mengetahui secara mendalam bidang ilmu yang anda ceburi, pelajarinya-lah umpama anda sangat-sangat perlukan kepakaran tersebut untuk kerjaya anda kelak, untuk teruskan hidup anda dunia ini.
Laksanakan setiap tugasan yang diberi dengan jujur dan amanah serta jangan meniru atau menipu dalam menghasilkannya seperti menyuruh pihak lain melakukannya untuk anda, membayar individu tertentu untuk mendapat hasil yang terbaik.
Laksanakan dengan ilmu anda sendiri kerana dengan cara itu sahaja anda akan perolehi ilmu dan kepakaran tersebut.
Sekiranya anda melakukan kesalahan dan kesilapan, jangan sedih dan kecewa, kerana itulah tujuan dan proses pembelajaran. Belajar melalui kesilapan adalah lebih baik dari tidak melakukan kesalahan dan kesilapan langsung semasa menuntut ilmu.
Belajar dari setiap kesalahan yang anda lakukan. Rujuk kepada tenaga pengajar anda dalam membetulkan kesilapan serta mencari solusi terbaik dalam menyelesaikan setiap permasalahan yang anda hadapi.
Jangan berasa malu untuk bertanya kepada sesiapa sahaja termasuk rakan sebaya anda. Sentiasa berlapang dada untuk berkongsi ilmu dengan semua orang.
Jangan kedekut ilmu dengan tidak berkongsi atau membantu rakan-rakan yang tidak tahu atau yang bertanya kepada anda. Paling penting, jangan menipu dengan mengatakan anda tidak tahu walhal anda tahu perkara atau ilmu tersebut.
#04 Terlibat Aktif Dalam Aktiviti Ko-kurikulum.
Walaupun ia tidak wajib dan tidak dikira dalam pemarkahan utama namun bukti menunjukkan pelajar yang aktif berpersatuan, bersukan, bersukarelawan, dan berkeusahawanan lebih laris dalam dunia pekerjaan berbanding dengan pelajar ‘ulat buku’ atau ‘katak di bawah tempurung".
Memang sesuatu yang memenatkan kerana terpaksa berkorban masa, tenaga malahan wang ringgit untuk bergiat aktif dalam aktiviti-aktiviti ini.
Apatah lagi andai desakkan dateline tugasan yang sentiasa bersusun dan maha banyak sifatnya. Pengurusan masa yang sistematik mesti diamalkan oleh setiap mahasiswa agar dapat memanfaatkan setiap saat, minit dan jam dalam alam universiti.
Bukan hanya ilmu dalam bidang yang diambil sahaja yang penting, ilmu serta kepakaran lain seperti kemahiran insaniah juga wajib serta perlu dikuasai oleh anda demi memenuhi keperluan industri yang semakin mencabar dan kompetetif dewasa ini.
Apakah dia kemahiran insaniah ini? berikut adalah 7 kemahiran insaniah yang digariskan oleh kementerian pengajian tinggi untuk dimiliki oleh setiap mahasiswa universiti di Malaysia.
- Kemahiran Komunikasi.
- Kemahiran Kritis & Penyelesaian Masalah.
- Kemahiran Kerja Berpasukan
- Pembelajaran Berterusan & Pengurusan Maklumat
- Kemahiran Keusahawanan.
- Moral & Etika Professional
- Kemahiran Kepimpinan
Persoalannya, di mana dan bagaimana kah semua elemen kemahiran ini boleh anda perolehi ? Aktiviti bercorak bagaimanakah yang boleh anda sertai untuk menguji kemahiran insaniah yang anda miliki sebelum ia ter-uji di dunia kerjaya yang sebenar? Semua persoalan ini perlu anda cari jawapannya sepanjang pengajian anda di Universiti.
Pada hakikatnya, akan terdapat banyak aktiviti-aktiviti yang dianjurkan oleh pihak universiti, fakulti, kolej kediaman dan persatuan-persatuan yang boleh anda sertai.
Aktiviti yang dianjurkan oleh kementerian pengajian tinggi di peringkat kebangsaan juga boleh anda ambil kira malahan anda sendiri boleh menganjurkan aktiviti melalui persatuan pelajar dan sebagainya.
Tiada masa walau sesaat pun untuk anda baziri di alam pengajian anda dan jangan pula hanya duduk di rumah atau asrama setiap kali mempunyai waktu terluang. Ingat, berusahalah.
#05 Belajar Ilmu Agama di Pusat Islam Di Universiti.
Lazimi solat berjemaah di surau fakulti atau di masjid universiti. Tiada kerugiaannya andai anda meluangkan sedikit masa anda dengan mendengar ceramah atau perkongsiaan hadis selepas waktu solat yang biasanya diadakan di surau-surau atau masjid di Universiti.
Di sini ada kalanya anda akan bertemu dengan pensyarah anda, atau senior anda yang sama-sama mendengar atau menyampaian ceramah dan perkongsiaan hadis.
Anda, senior dan pensyarah akan saling berkenalan dan mengenali antara satu sama lain dengan ukhwah islamiah yang lebih erat.
Bayangkan pensyarah atau senior anda berjumpa dengan anda 3 kali sehari. Sekali di dalam kelas, sekali pada waktu solat zohor dan sekali pada solat asar di surau fakulti.
Pastinya mereka lebih mengenali anda, dan ini bakal memberi aura positif dalam perhubungan anda. Anda boleh bertukar-tukar pendapat dan ilmu dengan mereka.
Selain daripada itu, pastinya tujuan utama anda adalah untuk merapatkan diri dengan pencipta yang Maha Esa, pemilik mutlak setiap ilmu di alam ini.
Tanpa petunjuk dan hidayah dari tuhan, siapalah anda. Ilmu itu milik tuhan sepenuhnya dan anda perlu meminta, merayu, memohon dengan bersungguh-sungguh kepada pemilik ilmu tersebut. Tanpa restu ilahi, mana mungkin anda mampu memiliki sesuatu yang bukan milik anda.
Sesekali ambil alih tugasan membaca hadis tersebut dari senior atau pensyarah anda. Ambil alih tugasan menjadi imam solat. Di sini terbentuk serta terujilah kemahiran insaniah anda secara praktikal.
#06 Berjimat Dan Berbelanjalah Dengan Berhemah.
Ada yang menyambung pengajian dengan pinjaman pendidikan, ada juga yang ditaja oleh kerajaan, syarikat atau badan tertentu. Ada juga yang ditaja oleh penjaga seperti ibu-bapa serta ada juga yang menyambung pengajian dengan duit simpanan sendiri.
Tidak kira-lah anda dalam kategori yang mana satu, penting untuk anda mentadbir hal-ehwal kewangan anda dengan sangat berhemah serta bersistematik. Hidup dalam dunia yang segalanya memerlukan duit kini, pastinya ia menjadi amat penting dalam menjalani kehidupan anda di alam universiti.
Antara kos-kos perbelanjaan yang bakal anda hadapi ialah:
- Kos makan- minum
- Kos sewa itu-ini seperti rumah sewa, asrama dll
- Kos buku rujukan
- Kos alatan seperti alat-tulis, kertas-kertas dll
- Kos buat tugasan seperti percetakkan, binding dll
- Kos yuran pengajian
- Kos yuran berpersatuan termasuk t-shirt atau uniform dll
- Kos pengangkutan seperti tiket bas, minyak moto, minyak kereta dll
- Kos hiburan seperti rombongan, tengok wayang, karaoke, bowling,paintball dll
- Kos jariah seperti belanja kwn makan, sedekah, dll
- Kos Pakaian seperti baju, seluar,kasut, uniform fakulti, topi kasut sukan dll
- Kos Kesihatan
Pastinya setiap individu membelanjakan kos yang berbeza antara satu sama lain, anda tidak boleh membandingkan perbelanjaan anda dengan rakan-rakan anda.
Hanya anda yang mengetahui keperluan sendiri dan hanya anda yang boleh mengurus perbelanjaan mengikut keperluan dan keinginan anda.
Sebab itu penting untuk anda mengubah, menahan dan mengurus nafsu berbelanja anda demi survival hidup anda di alam universiti.
Gunakan segala kelebihan anda sebagai pelajar untuk mendapat keistimewaan seperti potongan harga, bantuan kewangan dari kerajaan melalui kad siswa, perkhidmatan percuma seperti ubat di pusat kesihatan universiti dan sebagainya.
Di Malaysia, golongan pelajar masih mendapat keistimewaan –keistimewaan tertentu. Ketahui dan gunakan secara maksimum demi menjimatkan duit pocket anda.
Untuk menampung kos-kos yang bersusun di atas tadi, mahasiswa perlu bersifat pro-aktif dengan mencari peluang-peluang untuk menambah pendapatan sampingan seperti berniaga, bekerja sambilan dan sebagainya asalkan tidak menyalahi undang-undang universiti, Negara malahan agama khasnya.
Berniaga tidak salah di alam universiti malah ada universiti yang menggalakkan pelajarnya terlibat dengan aktiviti keusahawanan dengan menyediakan tempat dan peluang serta kemudahan modal di universiti.
Sekiranya anda mempunyai bakat dan keberanian dalam berniaga, tidak salah untuk mencuba. Antara perniagaan yang sesuai untuk golongan pelajar adalah seperti:
- Freelance menghasilkan rekaan, fotografi, perakaunan dan lain-lain.
- Menjadi Agen Cetak t-shirt, souvenir dan sebagainya.
- Menjual makanan/minuman seperti membuka gerai kecil semasa festival dan sebagainya.
- Menjual produk-produk yang sesuai untuk golongan pelajar seperti top-up, tudung dll
Walaubagaimanapun, penting untuk anda membahagikan masa agar aktiviti-aktiviti tersebut tidak menganggu pelajaran anda di universiti.
Berjimat cermat-lah andai anda tiada bakat dan keberanian untuk menjana pendapatan tambahan. Mencegah lebih baik dari mengubati.
Sebagai kesimpulannya, seorang mahasiswa itu akan menghadapi pelbagai dugaan dan cabaran sepanjang perjuangan menamatkan pengajian dalam bidang masing-masing.
Pengalaman suka-duka dalam alam kampus pastinya akan menjadi kenangan yang terindah dalam hidup dan akan sentiasa dikenang selamanya.
Apabila sampai waktu bergraduasi dan memasuki alam pekerjaan, anda pasti akan merindui alam kampus walaupun ini adakala pahit bak hempedu dan ada kalanya manis seperti gula.
Itulah lumrah kehidupan yang bakal dihadapi oleh anda yang berada di menara gading.