Gaji Seorang Pereka Grafik




Assalammualaikum dan salam sejahtera. 

Seperti biasa, pertanyaan dari para pembaca akan saya ulas dalam coretan blog supaya ia boleh menjadi rujukan kepada pembaca yang lain.

Antara pertanyaan yang paling kerap saya terima adalah berkaitan dengan isu gaji seorang pereka grafik. Baiklah, pada artikel kali ini saya akan cuba mengupas sebaik mungkin berdasarkan kepada pengalaman selama 12 tahun dalam industri ini.

Pada asasnya, gaji seorang pereka grafik di Malaysia adalah berlainan antara satu dengan lain berdasarkan kepada beberapa faktor. Antaranya ialah:

Faktor #01 | Pengalaman dan Kemahiran



Pengalaman dan kemahiran pereka grafik adalah saling berkaitan antara satu sama lain. Kebiasaanya lebih banyak pengalaman yang diperolehi lebih tinggi kemahiran yang beliau miliki.

Ini kerana, dalam proses memperolehi pengalaman tersebut, banyak masa, tenaga dan kos yang terpaksa dikorbankan dalam menghasilkan rekaan-rekaan sepanjang tempoh bekerja.

Proses ini akan membolehkan seorang pereka grafik itu mengaplikasikan lebih banyak teknik-teknik, dan seterusnya lebih banyak kemahiran yang dipelajari.

Ini merupakan faktor utama dalam penentuan gaji seorang pereka grafik. Lagi banyak pengalaman serta kemahiran yang dimiliki oleh pereka grafik itu, maka lagi tinggi gaji yang akan mereka perolehi. 

Pengalaman dan kemahiran seseorang pereka grafik bakal menentukan tahap jawatan yang akan disandang. Dalam industri rekaan grafik, pada kebiasaanya tahap penjawatan adalah seperti berikut: 

Di Sektor Swasta. 

Tahap pelaksana atau sokongan:
  • Visualizer 
  • Junior Graphic Designer 
  • Senior Graphic Designer 
Tahap pengurusan dan professional:
  • Art director 
  • Creative director 

Di Sektor Awam: 

Tahap pelaksana atau sokongan 
  • Gred B17 hingga Gred B38 

Tahap pengurusan dan Professional 
  • Gred B41 hingga Gred B54 

Cadangan Pembacaan | Temuduga Sebagai Pereka

Seharusnya setiap pereka grafik itu memulakan kerjayanya dari tahap yang paling bawah dan menimba pengalaman sebanyak yang mungkin serta mempertingkatkan kemahiran dalam diri mereka dari masa ke semasa agar mampu menjalankan tanggungjawab dan amanah apabila menyandang jawatan yang lebih tinggi nanti. 


Faktor #02 | Tahap pendidikan 



Walaupun tahap pendidikan seseorang itu tidak menggambarkan kehebatannya dalam menghasilkan rekaan. Namun di Malaysia, ia masih menjadi ‘kayu pengukur’ bagi menentukan jawatan seterusnya jumlah gaji seseorang pereka grafik. 

Pasaran pekerjaan masih memandang tahap pendidikan seseorang calon itu, buktinya dengan meletakkan syarat minimum tahap pendidikan dalam iklan-iklan kerja kosong syarikat mereka.

Lumrah dalam mana-mana industri pekerjaan di Malaysia, bagi mereka yang baru sahaja tamat pengajian akan ditawarkan gaji minimum mengikut tahap pendidikan mereka. 

Tahap pendidikan akan menentukan jumlah gaji permulaan dan meningkat dari masa ke semasa mengikut prestasi kerja dan juga faktor kemampuan sesebuah syarikat itu. 

Semasa artikel ini ditulis. Kerajaan telah menetapkan gaji minimum di Malaysia sebanyak RM 1000. Tidak kiralah anda bermula dengan tahap pendidikan apa pun, seribu ringgit merupakan gaji kasar minimum yang akan anda perolehi setiap bulan.

Oleh yang demikian, jumlah gaji yang ditawarkan oleh syarikat-syarikat swasta pada kebiasaanya mengikut iklan-iklan jawatan kosong yang dikaji oleh penulis adalah seperti berikut.
  • Pereka Grafik Lepasan Peringkat Sijil : RM 1000 hingga RM 1800 
  • Pereka Grafik Lepasan Peringkat Diploma : RM 1200 hingga RM 2000 
  • Pereka Grafik Lepasan Peringkat Ijazah Sarjana Muda : RM 2000 hingga RM 3000 

Cadangan Pembacaan | Apakah Peluang Kerjaya Graduan Rekaan Grafik

Perbezaan gaji permulaan antara seorang pereka grafik dengan pereka grafik yang lain adalah tertakluk kepada perbincangan semasa sesi temuduga. 

Tidak salah untuk anda ‘demand’ gaji yang anda kehendaki sekiranya anda mempunyai kemahiran yang bagus. Gaji anda juga mungkin akan menjadi lebih tinggi sekiranya anda boleh melakukan tugasan lain selain dari skop tugasan yang ditetapkan. 

Tempoh percubaan selama antara 2 hingga ke 3 bulan biasanya akan diberi sebelum anda diberikan gaji mengikut permintaan anda. Tempoh percubaan ini adalah untuk memastikan anda adalah pekerja yang dicari oleh majikan berkenaan. 

Faktor #03 | Sektor Pekerjaan 




Secara umumnya sektor pekerjaan terbahagi kepada 2 iaitu: 
  • Sektor Awam. 
  • Sektor Swasta. 
Seperti yang telah diterangkan pada artikel faktor no. 1 dan no. 2 di atas, permulaan gaji pereka grafik bergantung kepada tahap pendidikan dan pengalaman. 

Sekiranya anda adalah pereka grafik di sektor swasta. Kenaikkan tangga gaji adalah lebih kepada amalan sejauh mana sumbangan anda kepada peningkatan keuntungan syarikat dari masa ke semasa. 

Sekiranya anda adalah pekerja yang sangat memberi ‘high impact’ kepada syarikat. Pengurusan biasanya akan merasakan anda adalah asset yang perlu disimpan dan dijaga dengan sebaiknya. 

Cara pihak pengurusan menjaga anda adalah dengan cara menaikkan pangkat dan gaji anda. Memberi anda bonus dan insentif-insentif yang boleh 'mengikat' anda untuk terus setia dengan syarikat berkenaan.

Manakala, di sektor awam, kenaikkan gaji biasanya mengikut amalan kenaikkan tahunan yang telah ditetapkan oleh kerajaan mengikut gred penjawatan anda. Anda akan menikmati gaji tahunan antara RM95 sehingga RM320 setiap tahun secara tetap. 

KPI biasanya akan ditetapkan dan dinilai oleh ketua jabatan anda. Andai laporan ketua jabatan terhadap anda baik, maka tiada masalah untuk anda terus menikmati kenaikkan gred jawatan dan gaji tahunan yang telah ditetapkan tadi. 

Faktor #04 | Lain-lain
Antara faktor lain yang juga mungkin akan mempengaruhi gaji seseorang pereka grafik itu ialah:

1. Jenis Industri 

Contohnya: Pereka Grafik di industri percetakkan mungkin dibayar gaji lebih tinggi dari pereka grafik di industri pelancongan. 

2. Kawasan 

Contohnya: Pereka grafik di kawasan bandar besar seperti Kuala lumpur biasanya dibayar gaji lebih tinggi dari pereka grafik di kawasan luar bandar. 

3. Kemampuan Syarikat 

Contohnya: Pereka grafik di syarikat korporat besar biasanya dibayar gaji lebih tinggi dari pereka grafik di kedai-kedai kecil. 


Kesimpulan. 

Mengikut pengalaman penulis, pada kebiasaanya, seorang pereka grafik yang bergaji tinggi itu adalah pereka grafik yang berkemahiran 2 in 1, 3 in 1, dan ada yang sehingga 5 in 1.  Apa yang dimaksudnya dengan pereka grafik 2 in 1, 3 in 1 dan sebagainya? 

Sebagai contoh, sekiranya anda membeli minuman Milo 3 in 1, apakah faedah yang anda perolehi selain dapat menyediakan minuman tersebut dengan segera?  Pastinya anda juga memperolehi penjimatan bukan !. Sekiranya tiada 3 in 1 anda perlu membeli: 
  1. Milo 
  2. Susu 
  3. Gula 



Ada juga produk yang 3 in 1 dari segi khasiatnya. Begitulah perumpamaan seorang pereka grafik yang mempunyai lebih dari 1 kemahiran. 

Seandainya anda mempunyai kemahiran menghasilkan rekaan grafik dan pada masa yang sama anda juga mempunyai kemahiran menghasilkan laman web. 

Maka bagi pandangan majikan, anda boleh memenuhi 2 jawatan dalam syarikat tersebut. Iaitu jawatan sebagai pereka grafik dan juga jawatan sebagai webmaster. 

Maka adalah menjadi satu penjimatan untuk membayar gaji anda seorang sahaja dari terpaksa membayar gaji 2 orang pekerja. Penjimatan bukan sahaja pada membayar gaji tetapi: 
  • Caruman KWSP 
  • Kemudahan-kemudahan syarikat seperti tempat bekerja, uniform, dan sebagainya. 
Jadi bayangkan sekiranya anda adalah seorang pereka grafik yang berkemahiran 4 in 1 yang mampu mengambil alih 4 jawatan lain dalam sesebuah syarikat. 

Ia melayakkan anda untuk 'demand' gaji yang lebih tinggi kerana workload anda yang semakin mencabar. Pastinya majikan anda juga menyedari perkara berkenaan. 

Adalah sangat penting kepada pereka grafik untuk sentiasa meningkatkan kemahiran yang ada dan juga menambah kemahiran-kemahiran lain yang mempunyai permintaan tinggi dalam industri pekerjaan.

Jadikan diri anda sebagai asset sesebuah syarikat supaya pihak pengurusan sedar bahawa anda adalah penting kepada kemajuan dan pembangunan syarikat. Dari situlah hadirnya jawatan bergaji tinggi yang anda harapkan.

Selain dari itu, menjalankan sebuah perniagaan juga adalah salah satu kaedah untuk anda memperolehi berpendapatan yang tinggi. Tetapi, ia juga memerlukan kemahiran yang tinggi serta kesabaran dan kecekalan yang luar biasa. 
Powered by Blogger.