Program Yang Mempunyai Peluang Pekerjaan



Assalammualaikum dan salam sejahtera.

Alhamdulillah, kurang lebih sebulan sahaja lagi kita akan memasuki tahun baru 2018. Pastinya 2018 menjanjikan pelbagai cabaran yang baru untuk diri kita dan juga Negara, kerana diramalkan Pilihanraya ke 14 (PRU 14) akan dijalankan pada tahun 2018. Bagi peminat bola sepak pula, Piala Dunia FIFA (World Cup) akan berlangsung pada sekitar bulan Jun sehingga Julai nanti. Seperti kebiasaannya, demam bola melanda bagi semua peminat bola sepak di seluruh dunia.



Bagi pelajar lepasan SPM yang sedang menunggu keputusan SPM, pastinya kini sedang menghabiskan masa menunggu keputusan dengan pelbagai aktiviti. Diharapkan artikel yang lepas sedikit sebanyak dapat membantu anda dalam membuat dan memilih aktiviti yang ingin dilakukan supaya masa yang ada, dipenuhi dengan aktiviti yang bermanfaat. In Sha Allah.

Baiklah, artikel pada kali ini pula adalah untuk berkongsi jawapan kepada anda tentang persoalan "Bagaimana untuk memilih bidang pengajian yang mempunyai peluang pekerjaan?". Kaedah yang terbaik ialah dengan mengenalpasti terlebih dahulu industri-industri utama yang ada di Malaysia. 

Terdapat beribu program yang ditawarkan oleh IPTA dan IPTS. Adakah semua program tersebut memenuhi permintaan industri utama di Malaysia? 

Berapakah jumlah industri utama yang ada di Malaysia? Boleh adik-adik jawab? Antara salah satu kelemahan sistem pendidikan tinggi di Malaysia ialah masih terdapat program yang tidak menepati kehendak industri pada masa kini. Ini merupakan antara penyebab lambakkan lepasan IPT menganggur atau bekerja luar dari bidang yang mereka belajar. Selain dari kelemahan penguasaan kemahiran insaniah, kelemahan sistem juga berlaku di sana-sini.

Sebelum memilih bidang pengajian, adik-adik perlu mengenalpasti bidang tersebut tergolong dalam industri yang mana satu dan seterusnya mengenalpasti peluang pekerjaan yang ada di industri tersebut. Penting untuk adik-adik membuat sedikit pembacaan mengenai bidang dan industri yang ingin diceburi sebelum membuat keputusan menyambung pengajian dalam bidang itu.

Ambilkan sedikit masa untuk membaca artikel ini, dan cuba buat sedikit kajian mengenai program yang mempunyai kaitan secara langsung atau tidak langsung kepada industri-industri ini. Semoga adik-adik mampu membuat pilihan program yang tepat yang mempunyai permintaan dalam industri agar adik-adik mempunyai peluang yang lebih cerah untuk mendapat pekerjaan selepas tamat pengajian kelak. 

Secara umumnya, Malaysia mempunyai 2 industri utama iaitu, industri perkilangan dan industri perkhidmatan.



Industri Perkilangan ialah seperti:
  1. Industri Mineral Bukan Logam
  2. Industri Aeroangkasa
  3. Industri Tekstil & Produk Tekstil
  4. Industri Produk Logam Asas
  5. Industri Elektrikal & Elektronik
  6. Industri Sokongan Kejuruteraan
  7. Industri Makanan & Sumber Lestari
  8. Industri Jentera & Peralatan
  9. Industri Peralatan Perubatan
  10. Industri Petrokimia
  11. Industri Farmaseutikal
  12. Industri Kayu




Industri Perkhidmatan ialah seperti:
  1. Industri Teknologi Bersih & Pengurusan Persekitaran
  2. Industri Perkhidmatan Pendidikan & Latihan Industri
  3. Industri Penjagaan Kesihatan
  4. Industri Penubuhan Serantau & Pengurusan Rantaian Bekalan
  5. Industri Minyak & Gas
  6. Industri Penyelidikan dan Pembangunan
  7. Industri Hospitaliti 

Sekiranya adik-adik tidak pasti berkenaan dengan jenis industri yang disenaraikan di atas, adik-adik boleh meneruskan pembacaan di laman web rasmi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia | http://www.mida.gov.my. 

Rezeki setiap manusia ditentukan oleh yang maha Esa, namun usaha perlu dilakukan untuk memperoleh rezeki dari tuhan. Selepas berusaha, berdoa agar setiap keputusan yang dibuat itu memberi kesan yang positif untuk masa depan adik-adik.

Dapatkan nasihat kerjaya dari orang yang betul dan layak. Jangan terlalu ikutkan hati dan rakan sebaya dalam memilih bidang pengajian. Dikuatiri bidang tersebut tidak menepati kehendak industri. Maka agak terbatas peluang pekerjaan selepas tamat pengajian kelak. Semoga pengkongsian ini memberi manfaat untuk semua. Sekian selamat berjaya.

Powered by Blogger.