07 Perkara Sebelum Menunaikan Umrah
Assalammualaikum dan Salam sejahtera.
Tahun baru menjelma lagi, selamat datang 2019. Tahun 2018 ditinggalkan dengan penuh kisah tauladan dan pengalaman yang mampu mematangkan fikiran kita. Seperti biasa, saya ingin berkongsi pengalaman yang berharga pada tahun 2018 kepada pembaca-pembaca sekalian.
Awal tahun 2018, saya diberi peluang untuk bekerjasama dengan sebuah syarikat pelancongan dalam membina jenama syarikat tersebut. Alhamdulillah, sekali lagi diberi peluang oleh Allah untuk membantu satu lagi syarikat bumiputera untuk berkembang maju dan berdaya saing.
Anda semua boleh melihat hasil kerja saya sepanjang menjalinkan kerjasama tersebut di laman web www.derekacreative.com. Kalau nak tahu mengenai rekaan grafik dan profession saya. Boleh juga melawat dan membaca blog yang saya tulis di sana.
Satu lagi pengalaman yang begitu berharga semasa usahasama ini berlangsung ialah pengalaman mengendalikan jemaah Umrah. Oleh kerana syarikat ini memfokuskan pakej-pakej umrah sebagai pendapatan utama syarikat, maka secara tidak langsung sedikit sebanyak saya berpeluang mempelajari proses pengurusan jemaah umrah di sini.
Secara ringkasnya, proses untuk mengerjakan umrah adalah mudah iaitu memilih pakej dan syarikat pengendali umrah, pergi kursus umrah, menyediakan semua dokumen yang diperlukan serta menyediakan wang mengikut nilai pakej yang dipilih.
Namun, terdapat perkara-perkara penting yang ingin saya kongsikan dalam artikel ini, khas untuk mereka yang ingin menunaikan umrah. 07 Perkara Menunaikan Umrah.
# Perkara 01 | Kenalpasti Pakej Yang Diinginkan.
Terdapat beratus malahan beribu pakej umrah yang ditawarkan oleh beratus agensi pelancongan di negara ini. Tugas pertama anda adalah memilih pakej dan membandingkannya satu demi satu.
Harga pakej umrah pada asasnya mempunyai harga minima yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pelancongan, iaitu tidak boleh kurang dari harga RM5000.
Jadi sekiranya anda ditawarkan harga RM4999 atau lebih rendah lagi, maka bak kata orang putihnya "some thing wrong with the package". Jangan mudah menjadi mangsa penipuan tuan puan.
Perkara no.2 sehingga no 7 adalah perkara yang menentukan perbezaan harga pakej bagi setiap syarikat pengendali umrah. Maka, adalah penting untuk anda mengetahui perkara-perkara tersebut.
# Perkara 02 | Pilih Syarikat Penerbangan.
(Saudi Airlines, MAS, Air Asia etc)
Ada penerbangan yang melakukan penerbangan terus (kapal terbang terus menuju ke Jeddah | Sektor KUL-JED atau terus menuju ke Madinah | Sektor KUL-MED). Sektor KUL-MED biasanya lebih mahal dari KUL-JED.
Faktor penjimatan masa memainkan peranan dalam pemilihan penerbangan ini. Ada juga yang tidak melakukan penerbangan terus. Ini bermaksud, anda perlu transit selama beberapa jam di negara lain sebelum menuju ke Jeddah atau Madinah.
Penerbangan terus biasanya lebih mahal dari penerbangan transit dan penerbangan menggunakan seat business class atau first class juga menambahkan nilai pakej anda.
Sekiranya anda menggunakan kerusi roda. Adalah sangat penting untuk anda memaklumkan dengan lebih awal kepada syarikat pengendali umrah anda untuk mereka menyediakan keperluan anda sebelum, semasa dan selepas menunaikan umrah.
#Perkara 03 | Ketahui Jarak Hotel.
Umum mengetahui, pemilihan hotel merupakan antara faktor utama jemaah untuk memilih pakej umrah mereka. Hotel di Madinah perlulah dekat dengan Masjid Nabawi manakala di Mekah pastinya mendambakan yang paling dekat dengan Masjidil Haram.
Kalau boleh nak Haram View, buka tingkap hotel je dah boleh nampak kaabah. Makanan pula kalau boleh nak sama menu macam di Malaysia kan. Jumlah jemaah yang berkongsi sebilik juga menentukan harga pakej. Bilik berdua pastinya lebih mahal dari bilik ber-5.
Hotel paling dekat biasanya hanya 50 meter dari Masjidil Haram, dan 50 meter dari Masjid Nabawi di Madinah. Jadi, sekiranya pakej umrah tersebut menawarkan hotel-hotel yang dekat, maka biasanya pakej akan menjadi mahal.
Kalau nak murah, jarak hotel biasanya akan lebih jauh dan ada kalanya terpaksa naik shuttle bus sebab tak larat nak ulang-alik ke hotel penginapan. Bagi yang muda remaja, mungkin jarak hotel tidak menjadi isu tetapi lain pula bagi jemaah yang uzur apatah lagi terpaksa berkerusi roda.
#Perkara 04 | Pengangkutan.
Ok, biasanya bas besar menjadi pengangkutan utama jemaah untuk ke Madinah atau ke Mekah. Tetapi bagi yang banyak duit di poket, mereka akan memilih kereta GMC, van Starex atau bas pendek (Coster) sebagai pengangkutan utama.
Ada juga yang memilih untuk menaiki keretapi laju yang sudah beroperasi di sana. Untuk mereka yang berduit, biasanya akan memilih pakej private atau VIP yang menyediakan pengangkutan khas untuk mereka.
#Perkara 05 | Ziarah @ Lawatan Tambahan.
Biasanya, lawatan atau ziarah yang ditawarkan hanya terhad ziarah di sekitar masjid sahaja yang dinamakan ziarah dalam dan ziarah luar. Namun, ada juga pakej yang menyediakan ziarah atau lawatan tambahan.
Nampak macam pelik, tapi itulah kenyataannya. Lagi banyak tempat lawatan yang ditawarkan, maka pakej tersebut bakal menjadi mahal. Lawatan seperti Taif, masjid-masjid sahabat nabi, ladang Unta, Ladang Kurma dan macam-macam lagi lah. Kekadang sampai confius, diaorang ni nak pergi umrah ke atau nak pergi melancong. mmmm...
#Perkara 06 | Mutawwif & Mutawwifah.
Mutawwif atau mutawwifah adalah orang yang ditugaskan sebagai pembimbing dari awal hingga akhir anda melakukan umrah. Ada mutawwif yang dah berpuluh kali bawa jemaah pergi umrah dan ada mutawwif yang baru pertama kali bawa jemaah.
Jadi, untuk mutawwif yang berpengalaman biasanya syarikat akan membayar mahal kepada mereka. Untuk mendapatkan mutawwif yang berpengalaman ini, sebenarnya bukannya mudah, sebab ada syarikat-syarikat besar sanggup membayar mahal untuk menggunakan perkhidmatan mutawwif yang berpengalaman ini.
Kalau syarikat tersebut menggunakan mutawwif yang berpengalaman, anda pada kebiasaanya mendapat kesan yang positif hasil dari bimbingan professional mereka.
#Perkara 07 | Barangan Percuma.
Hakikatnya, tiada barang percuma dalam dunia ini kecuali yang diberi Allah kepada hambanya. Sebenarnya segalanya telah diserap ke dalam harga pakej tersebut. Tetapi andai syarikat tersebut membeli secara pukal dari supplier, jadi dapatlah mereka harga lebih murah dari harga pasaran.
Barang percuma seperti beg bagasi, kain ihram, telekung, buku panduan umrah, air zam-zam, kursus umrah dan sebagainya kadangkala menjadi senjata utama untuk memancing jemaah memilih syarikat mereka.
Jadi, sekiranya anda ditawarkan dengan pelbagai barangan percuma, sedarlah bahawa itu semua mempunyai harga yang telah diserap ke dalam bayaran harga pakej anda.
Kesimpulan
Jadi tuan-puan, tujuh perkara ini biasanya menjadi 'permainan' agensi-agensi umrah untuk bersaing dalam menawarkan harga pakej umrah masing-masing. Tugas tuan-puan ialah memilih dan menilai sendiri dengan melakukan sedikit kaji selidik supaya tidak tertipu dengan agensi yang tidak bertanggungjawab.
Tuan-puan perlu tahu adakah syarikat tersebut mempunyai Lesen Khas Umrah (LKU) yang dilesenkan oleh kementerian Pelancongan, Seni & Budaya Malaysia. Boleh buat semakan sendiri di laman web Kementerian tersebut.
Tuan-puan juga perlu melihat testimoni personal dari bekas jemaah yang pernah pergi dengan syarikat tersebut. Jangan sesekali lihat testimonial yang disediakan di Facebook atau laman web syarikat tersebut, ia pastinya telah ditapis.
Selain dari perkara-perkara yang disebut di atas ini, hati tuan-puan juga perlu dijaga rapi agar dapat menunaikan umrah dengan tenang dan mencapai matlamatnya. Ada jemaah yang dari Malaysia lagi telah menunjukkan sikap panas baran, kekwat dan tidak bertimbang rasa.
Pada pendapat peribadi saya, ujian tuan-puan amat besar untuk menunaikan umrah ini. Adakalanya masalah-masalah seperti beg bagasi lambat diberi, passport atau visa tidak diluluskan, penerbangan terpaksa diawal atau dilewatkan, beg bagasi hilang entah ke mana dan macam-macam lagi lah terpaksa dihadapi.
Sabar adalah kunci utama tuan-puan, ada jemaah yang menyerang syarikat membuta tuli dan mengeluarkan kata-kata kurang enak kepada staff syarikat sehingga terguris hati mereka hanya kerana beg bagasi lambat diberi.
Ada juga yang mencaci dan mengugut syarikat tanpa selidik dahulu kebenarannya melalui media sosial dan whatApps semata-mata visa mereka tidak diluluskan dan sebagainya. Inikah sikap bakal tetamu Allah?.
Semoga tuan-puan dan saya sentiasa dilindungi Allah dari sikap-sikap mazmumah apatah lagi di saat terpilih menjadi tetamu Allah. Sekian.