Temuduga Jawatan Pereka Gred B41




Assalammualaikum dan salam sejahtera.

Tahun 2017 telah melabuhkan tirainya, selamat datang 2018, semoga tahun ini, saya dan pembaca sekalian mencapai impian dan cita-cita masing-masing, aminn. Sudah agak lama juga saya tidak meng-update blog ini dan juga laman web derekacreative.com atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. 

Seperti kebiasaannya, akhir tahun agak sibuk dengan aktiviti hari keluarga yang dianjurkan oleh pelbagai pihak, perlulah ke sana dan ke sini meraikan hari keluarga belah mertua dan hari keluarga tempat isteri berkhidmat. Boleh tahan juga letihnya.

Menganjurkan hari keluarga adalah antara usaha yang paling baik untuk mengeratkan ikatan silaturrahim antara adik-beradik dan saudara mara yang dekat mahupun jauh. At least boleh berjumpa dua kali setahun selain daripada sambutan aidilfitri. 

Selain dari ber-family day, bagi seorang usahawan seperti saya, waktu akhir tahun ini perlu juga diisi dengan aktiviti menutup akaun syarikat dan juga merangka rancangan perniagaan untuk tahun depan. Bagi derekacreative sendiri, saya bercadang untuk membuka kedai online yang bakal menawarkan produk-produk rekaan sendiri dan juga barangan dropship terpilih. Jangan lupa sokong usaha derekacreative bila siap kedai online tu nanti ye. hehehehe.



Baiklah, pada artikel kali ini, saya ingin berkongsi pengalaman menghadiri temuduga bagi jawatan Pereka Gred B41 di Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia pada 18 Disember 2017 yang lalu. Setelah berjaya memujuk hati yang lara, sedih dan pilu akibat dari kegagalan terpilih ke jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Gred DG41, saya kuatkan semangat sekali lagi untuk cuba berkhidmat di dalam perkhidmatan awam ini.




Komen peribadi saya di atas kegagalan DG41 adalah disebabkan:
  1. Rezeki bukan untuk saya untuk jawatan tersebut.
  2. Saya bukan bekas pelajar MRSM atau Institusi Pengajian di bawah kelolaan MARA yang lain.
Andainya anda adalah bekas pelajar MRSM atau dari mana-mana institusi pengajian di bawah kelolaan pihak MARA. Peluang untuk anda berkhidmat bersama MARA adalah lebih tinggi berbanding calon yang tidak pernah berada dalam sistem MARA. Sekali lagi saya tekankan di sini, ini adalah pandangan dan andainya peribadi saya sendiri sahaja.

Tidak seperti temuduga untuk jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan DG41 yang pernah saya kongsikan bulan lepas, temuduga kali ini hanya mempunyai 3 sesi sahaja iaitu, sesi ujian personaliti, ujian melukis dan sesi temuduga bersama panel. 



Temuduga ini bermula dengan sesi pendaftaran calon dan menghantar segala dokumen salinan yang diperlukan beserta portfolio hasil kerja terdahulu. Sesi pertama bermula dengan menjawab soalan personaliti dalam masa 30 minit. Soalan ini hanya memerlukan kita menyenaraikan lima kekuatan dan lima kelemahan yang ada pada diri sendiri. Saya pun menjawab dengan sebaik mungkin berdasarkan pengalaman yang ada. hehehehe.



Sesi kedua pula ialah ujian melukis. Pada awalnya saya ingatkan ujian melukis kali ini adalah sama seperti ujian melukis untuk jawatan DG41, namun sangkaan saya meleset kerana ujian melukis bagi Pereka B41 ini lebih mencabar kerana ia melibatkan pemikiran inovasi yang mencabar kreativiti. Soalan ujian melukis yang diberikan lebih kurang seperti ini:

Anda dikehendaki mencipta satu konsep produk bertemakan eco pelancongan. Konsep tersebut mestilah mengetengahkan produk-produk kraftangan seperti anyaman, batik, ukiran dan sebagainya. Lukisan anda perlulah mempunyai penjelasan konsep yang jelas beserta ciri-ciri inovasi yang dicadangkan.

Ha, lebih kurang macam tu la bunyi soalannya, tak teringat pulak nak shot gambar hasil lukisan saya, sebab masa memang tak cukup nak siapkan lukisan tersebut. Masa diberi hanya 45 minit sahaja untuk memikirkan produk apa yang ingin dicadangkan. 

Lukis padam lukis padam, tup-tup urusetia umumkan masa dah tamat. So apa lagi, kelam kabut la nak menulis sedikit penerangan mengenai konsep produk yang dipilih tu. Memang mencabarlah bagi saya yang tak begitu familiar dengan produk-produk kraftangan Malaysia ini.

Selepas tamat ujian melukis, kami perlu menunggu lebih kurang satu jam disebabkan oleh panel sedang menjalankan sesi temuduga bagi calon dalaman untuk kenaikkan pangkat dari Pereka gred B29/B37 ke Pereka gred B41. 




Rupa-rupanya bukan calon luar sahaja yang merebut kekosongan jawatan ini, anda juga perlu bersaing dengan Pereka yang telah berkhidmat di Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia seluruh negara yang ingin kenaikkan pangkat. Pada ketika dan saat ini, terasa peluang untuk menjawat jawatan ini umpama telur dihujung tanduk. mmmm....

Namun, tak apa lah, perjuangan tetap diteruskan walaupun ada terasa sedikit kekecewaan. Dalam lingkungan jam 11 tengahari, tiba lah masanya untuk sesi temuduga bersama panel Kraftangan Malaysia. Sama seperti temuduga jawatan gred DG41, lima orang calon ditemuduga oleh 3 orang panel serentak.

Kelemahan dalam temuduga berkumpulan seperti ini bagi saya ialah, kita tidak dapat bercakap dengan lebih kerap disebabkan perlu mengikut giliran bercakap dan memberi peluang kepada calon lain melontarkan idea mereka. Dan ada kalanya idea kita tersangkut disebabkan lama menunggu kupasan isu dari calon yang lain.

Temuduga kali ini dijalankan dalam bahasa melayu, sama seperti sewaktu temuduga gred DG41. Mungkin sektor awam lebih meneliti kefasihan kita berbahasa melayu berbanding ber bahasa Inggeris. Debaran mula memuncak bila dapat tahu salah seorang panel didatangkan khas dari Kementerian Pelancongan Malaysia dan ketua panel adalah timbalan pengarah operasi Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia. 

Sesi temuduga berjalan seperti biasa dengan dimulakan dengan ketua panel memperkenalkan diri dan panel-panel yang lain serta memulakan sesi dengan soalan famous 'sila perkenalkan diri anda dengan cara yang paling ringkas'. Saya perkenalkan nama, asal dan pekerjaan sekarang.




Agak simple pada mulanya sesi temuduga ini sebelum ketua panel tiba-tiba bertanya mengenai apakah itu TN50 dan apakah objektifnya kepada para belia? serta soalan tentang Revolusi Perindustrian 4.0 dan apakah kaitannya dengan inovasi kraftangan di Malaysia?




Tuan puan yang sedang membaca blog saya ini, percayalah, andai anda terpilih menghadiri sesi temuduga dalam sektor awam, soalan-soalan isu semasa di dalam negara pasti menjadi isu utama semasa sesi temuduga. Soalan-soalan yang berkaitan dengan kementerian atau jabatan tersebut memang tidak ditanya malah beranggapan semua calon telah bersedia dengan jawapan untuk soalan bersifat demikian.

Dua malam saya study mengenai Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia termasuk misi dan visinya, sejarah penubuhannya, barisan pengarah-pengarahnya serta isu-isu semasa berkaitan industri kraftangan di Malaysia, namun usaha tersebut ternyata hanya sia-sia kerana perkara tersebut tidak disentuh langsung dalam sesi temuduga ini.

Sama juga kisahnya semasa menghadiri temuduga DG41, apa yang ditanya hanyalah isu semasa dan terkini, semasa sesi saya, soalan berapakah jenis sukan yang dipertandingkan dalam sukan SEA di Kuala Lumpur? berapakah sasaran pingat emas kontigen negara? dan yang paling haru biru dibuatnya apabila  panel bertanya berapakah panjang jambatan Pulau-pinang yang lama? dan yang akan bakal dibina nanti?  Soalan berkaitan dengan MARA, langsung tak ada. Sedih bukan?


Soalan-soalan yang tidak disangka biasanya memang akan dijawab dengan isi-isi yang digoreng ranggup. Namun barisan panel lebih menyukai mereka yang bersikap jujur tanpa perlu cuba untuk menjawab pun. Kita sebenarnya telah terbiasa di alam universiti, dididik supaya tetap untuk cuba menjawab walaupun jawapan itu salah, dari terus berputus asa dengan berkata, saya tak tahu atau i dont know.

Tetapi dalam temuduga sektor awam adalah lebih baik anda bersikap jujur sahaja. Kalau tak tahu, just say 'secara jujur saya tak tahu jawapannya'. Anda akan dipuji 'at least anda jujur, saya suka'. see, mmmmm......

Secara keseluruhannya, persaingan untuk merebut jawatan-jawatan dalam perkhidmatan awam sememangnya sengit lagi menyegitkan. Anda bukan sahaja bersaing dengan calon luar, malahan akan bersaing dengan calon dalaman yang mendapat kenaikkan pangkat. 

Andai ada rezeki saya di Kraftangan Malaysia, Insha Allah saya akan update info-info berkaitan dengan skop tugas seorang pereka di sektor awam. Andai tertulis bukan rezeki saya, kita sebagai muslim perlu sedar bahawa yang ditetapkan oleh Nya adalah yang terbaik untuk kita. Terimalah dengan hati yang terbuka. Semoga semuanya dipermudahkan, aminn.

Itu sahaja perkongsian dari pengalaman saya menghadiri temuduga jawatan Pereka Gred B41. Segala ulasan yang ada pada artikel ini hanyalah pandangan peribadi saya dan mungkin tidak sama dalam sesi temuduga yang lain. 

Tahun 2018 ini saya mengharapkan ada sinar baru dalam kerjaya saya. Andai tertulis rezeki terus menjadi seorang usahawan. Perlu terima dengan hati yang redha. Jumpa lagi dalam coretan yang akan datang. Semoga perkongsian ini memberi idea kepada mereka yang bakal menghadapi temuduga Pereka di sektor awam. Sekian.
Powered by Blogger.