Kejutan Budaya di Alam Universiti.
Salam Ramadhan kepada semua pembaca blog syahrulasriomar. Sepanjang 2 tahun berkongsi pengalaman melalui penulisan blog, penulis berharap intipati yang cuba disampaikan dapat diterima oleh pembaca sekalian.
Keputusan UPU telah dimumkan pada 21 Mei yang lalu. Ada yang berjaya melanjutkan pengajian dan ada juga yang kurang bernasib baik. Namun apa juga keputusan, terimalah dengan hati yang terbuka.
Khas untuk adik-adik yang berjaya melanjutkan pengajian di peringkat universiti, artikel pada kali ini berkisarkan tentang kejutan budaya yang bakal dialami oleh anda sebagai pelajar baru di alam universiti.
Ada yang berjaya menghadapi kejutan-kejutan ini dengan baik. Namun, jangan terkejut, ada juga yang gagal menyesuaikan diri sehingga terpaksa berhenti dari universiti disebabkan kejutan budaya ini.
Jom kita selusuri 5 kejutan budaya yang paling popular di kalangan mahasiswa dan mahasiswi baru.
Kejutan #01: Sepenuhnya Berdikari.
Sejurus sahaja anda bergelar mahasiswa @ mahasiswi, maka fasa berdikari juga bermula. Tiada lagi istilah anak manja keluarga yang segalanya diuruskan oleh ibu dan ayah.
Dari celik mata di pagi hari sehingga menutup mata di malam hari segalanya perlu diuruskan oleh anda sendiri. Andai selama ini anda bergantung kepada ibu dan ayah atau dengan ahli keluarga yang lain, tetapi kini anda bersendirian.
Tiada siapa yang akan mengambil berat tentang diri anda selain dari anda sendiri. Anda perlu mendisiplinkan diri untuk bangun di awal pagi, bersiap untuk ke kuliah, mengosok baju sendiri, bersarapan dan bergerak ke fakulti dengan apa cara sekali pun.
Selain dari perlu berdikari pada pengurusan peribadi, pengurusan pembelajaran juga perlu anda uruskan. Pada awal setiap semester biasanya anda akan menguruskan sendiri perkara-perkara berikut:
- Pembayaran yuran pengajian.
- Pendaftaran subjek mengikut plan pengajian.
- Pembentukan jadual waktu kuliah dari segi masa kuliah, Pensyarah, kumpulan dan lokasi kelas.
- Proses penambahan dan pengguguran subjek.
- Membuat Validasi subjek.
Segalanya perlu diuruskan sendiri melalui kaedah online dan offline. Anda yang akan berjumpa dengan para pensyarah untuk mengetahui waktu kuliah, bilik kuliah dan keperluan-keperluan subjek untuk sepanjang semester.
Kejutan #02: Membuat Keputusan.
Andai selama ini, ibu dan ayah sentiasa berada di sisi untuk memberi second opinion dalam setiap keputusan yang anda buat. Tapi kini anda perlu membuat keputusan dengan pertimbangan anda sendiri.
Walaupun anda boleh menghubungi ibu dan ayah untuk membantu anda, namun ada masanya anda perlu buat keputusan dengan kadar segera.
Tak kan lah setiap kali berhadapan dengan situasi yang memerlukan anda membuat keputusan, anda perlu menghubungi ibu dan ayah terlebih dahulu?
Anda juga perlu bertanggungjawab sepenuhnya dengan keputusan yang anda telah lakukan. Pada kebiasaannya, situasi-situasi berikut memerlukan anda membuat keputusan dengan cepat:
- Membuat keputusan untuk sesuatu pembelian, seperti peralatan keperluan kuliah, buku dan sebagainya.
- Membuat keputusan untuk pergi ke sesuatu lawatan bagi tujuan assignment dan sebagainya.
- Membuat keputusan tentang kelab dan persatuan atau aktiviti ko-kurikulum yang anda ingin sertai.
- Membuat keputusan tentang ingin menerima cinta jejaka pilihan hati di alam percintaan universiti. Hahahahahaha.
Setiap perkara yang ada akan lalui memerlukan anda membuat keputusan mana yang terbaik untuk diri anda. Andai sesuatu perkara itu terlalu sukar untuk anda membuat keputusan. Hubungilah ibu atau ayah untuk meminta pandangan sekiranya anda menemui jalan buntu.
Kejutan #03: Pengurusan Kewangan.
Sekiranya anda layak untuk menerima pinjaman PTPTN, pastinya kejutan berlaku kerana anda mempunyai sejumlah wang yang banyak masuk ke akaun anda pada setiap semester.
Sekiranya ada baki selepas membayar yuran pengajian. Anda bakal merasai keseronokkan dengan adanya wang tambahan untuk digunakan.
Ada antara mereka yang menggunakan wang tersebut untuk membeli handphone baru, ada juga yang menggunakan untuk membeli barangan yang selama ini menjadi idaman.
Ada juga yang tidak dapat pinjaman PTPTN tetapi dapat wang belanja bulanan dari ibu dan ayah. Pasti terasa berkeinginan untuk berbelanja seperti menonton wayang bersama rakan-rakan atau sekadar berjalan-jalan ke taman hiburan (theme park) seperti ke genting highland, sunway lagoon dan sebagainya.
Boros atau berjimat? Anda yang akan tentukan. Pada asasnya, wang anda perlu dibelanjakan untuk perkara-perkara berikut:
- Yuran Pengajian.
- Yuran Asrama @ Sewaan rumah / bilik.
- Makan dan minum seharian.
- Pengangkutan ke kuliah. Kereta, motosikal, bus, grab etc.
- Kelengkapan dan keperluan pengajian spt buku, alat tulis etc.
- Kos menyiapkan assignment spt kos printing, binding, etc
- Pembelian baju rasmi fakulti / Program / Uniform etc.
- Kos top up handphone @ membayar bil post paid untuk tujuan komunikasi dan internet.
- Pembayaran-pembayaran keperluan pengajian spt lawatan sambil belajar, berpersatuan dan sebagainya.
Kejutan #04: Rakan Taulan.
Ini merupakan kejutan yang paling besar kerana anda tidak lagi bergaul dengan rakan yang sama sewaktu di alam persekolahan dahulu. Anda akan mula berkenalan dengan rakan-rakan yang baru, rakan asrama, rakan sebilik, rakan serumah, rakan sekuliah @ sekelas, rakan sekelab atau sepersatuan dan lain-lain.
Pengaruh rakan sebaya adalah sangat besar peranannya di alam universiti. Ini kerana anda bebas melakukan apa sahaja perkara tanpa kawalan ibu dan ayah atau keluarga. Segalanya boleh dipengaruhi oleh rakan-rakan anda.
Ada rakan yang akan mempengaruhi anda ke arah kebaikkan, dan ada juga rakan yang mampu mempengaruhi anda ke arah keburukkan. Salah memilih rakan kenalan bakal mengundang musibah yang buruk kepada masa depan anda di alam universiti.
Ada yang ponteng kuliah atas pengaruh rakan sebilik, ada yang melakukan pembaziran masa dan wang dengan selalu keluar bersuka ria juga dari pengaruh rakan sekelas. Ada juga yang terlibat dengan pengaruh dadah, arak dan perempuan juga kerana mengikut rakan kenalan.
Namun tidak semua rakan sebaya jahat, ada juga rakan sebaya yang baik seperti sentiasa mengajak anda ke masjid untuk solat bersama, ada yang selalu mengajak ke perpustakaan untuk buat study group dan ada juga yang sentiasa memberi dorongan dan tunjuk ajar serta nasihat kepada anda.
Kesimpulannya, anda perlu bijak memilih rakan anda dan selalu berdoa agar ditemukan dengan rakan yang sama-sama ingin berjaya menamatkan pengajian seterusnya membanggakan keluarga.
Kejutan #05: Persekitaran.
Terdapat universiti yang terletak di kawasan pendalaman. Dan ada juga universiti yang terletak di bandar-bandar besar. Anda juga ada yang dari kawasan pendalaman, dan ada juga yang memang menetap di kawasan-kawasan bandar besar.
Kejutan akan bakal berlaku ialah apabila anda ditempatkan di kawasan yang berlawanan dengan tempat tinggal anda. Yang dari kampung kena belajar di bandar besar dan yang dari bandar besar terpaksa belajar di kawasan pendalaman.
Ini secara tidak langsung akan menimbulkan kejutan budaya dalam kehidupan seharian anda. Biasa kita dengar mereka yang dari pendalaman lebih banyak menerima kejutan budaya apabila tinggal di bandar-bandar besar.
Tetapi kejutan lebih besar terjadi kepada mereka yang memang lahir-lahir di bandar besar tetapi menyambung pengajian di kawasan pendalaman. Ada yang tidak mampu bertahan untuk 1 semester pun kerana tidak boleh membiasanya diri dengan suasana, makanan, persekitaran serta kejiranan yang ada diamalkan di kawasan pendalaman.
Selalu makan spaghetti, burger dan kentang goreng tiba-tiba kena makan budu, cencalok dan tempoyak.
Kesimpulannya.
Walau apa pun kejutan budaya yang bakal anda alami. Perjuangan tetap perlu diteruskan demi masa depan anda. Kepayahan serta kesukaran dalam menuntut ilmu merupakan lumrah kepada semua pelajar tidak kira di peringkat sijil, diploma, ijazah mahupun di peringkat doctor falsafah.
Kesilapan dan kegagalan yang anda diperolehi adalah bukan untuk dikesali tetapi untuk diinsafi. Itu semua merupakan pengalaman berharga yang tidak boleh diperolehi melalui pembacaan dari mana-mana buku.
Ini merupakan satu proses kehidupan untuk menjadikan anda insan yang lebih cekal, berfikiran matang, serta mempunyai daya tahan yang tinggi. Hadapi segalanya dengan ukiran senyuman kerana hidup ini terlalu singkat untuk meratapi episod kesedihan dan kemurungan.
Usaha dan tawakkal. Semoga semuanya dipermudahkan oleh tuhan seluruh alam. Sekian.