Saat Keputusan UPU Diumumkan



Bulan Mei telah pun menjelma, pada bulan ini dijangka keputusan UPU bakal diumumkan. Penantian anda akan berakhir tidak lama lagi.

Bagi anda yang telah menceburi alam pekerjaan dan mula rasa selesa memegang wang ringgit hasil usaha sendiri mungkin beranggapan menyambung pengajian adalah suatu perkara yang membuang masa dan wang ringgit sahaja.

Namun, bagi mereka yang mempunyai cita-cita menyambung pengajian sehingga ke peringkat tertinggi pasti tidak senang duduk menantikan debaran saat keputusan UPU diumumkan.

Bagi yang menyahut saranan saya untuk menyertai kursus-kursus atau bengkel-bengkel kemahiran yang diminati, pasti sudah terbuka minda untuk memilih bidang yang benar-benar diminati diperingkat yang lebih tinggi.

Kepada adik-adik semua, saya ada sediakan checklist yang perlu anda lakukan sejurus sahaja keluar keputusan UPU nanti.

Andai keputusan UPU anda berjaya dan mengikut pilihan anda.

  • Cetak dokumen-dokumen yang disertakan atau diarahkan untuk dicetak melalui pautan yang diberikan. 
  • Berbincang dengan ibu bapa dan adik-beradik mengenai setiap keputusan yang anda buat dan dapatkan kebenaran keluarga serta second opinion dari mereka. 
  • Mula menyediakan dokumen-dokumen yang diperlukan semasa pendaftaran mengikut senarai semak yang diberikan. Buat penyediaan awal dan jangan buat last minit. 
  • Pastikan juga anda mengetahui struktur yuran secara terperinci. Ini sangat penting untuk di bawa berbincang dengan keluarga anda. 
  • Buat sedikit penyelidikan mengenai tempat pengajian yang ditawarkan. Selidik perkara-perkara berikut: 
  1. Penawaran Kolej Penginapan. 
  2. Pengangkutan ke Kuliah. 
  3. Tempat makan (jauh atau berhampiran) 
  4. Koperasi, pusat membeli belah dll 

Andai keputusan UPU anda berjaya tetapi tidak mengikut pilihan anda.
  • Cetak dokumen-dokumen yang disertakan melalui pautan yang diberikan. 
  • Bertenang dan buat keputusan di antara ingin menerima atau menolak tawaran tersebut. Pertimbangan semua kemungkinan dari segi peluang pekerjaan, kos dan lain-lain. 
  • Bentangkan keputusan anda kepada keluarga anda, berbincang dan dapatkan second opinion dari mereka. 
  • Sekiranya keputusan anda adalah menerima tawaran tersebut, sila ikut perkara 3, 4 dan 5 di atas, sekiranya anda menolak tawaran tersebut sila ikut perkara yang dicadangkan di bawah ini. 

Andai keputusan UPU anda tidak berjaya.
  • Membuat rayuan apabila sistem rayuan dibuka. Ikut segala arahan dan keperluan yang diminta dalam proses membuat rayuan tersebut. 
  • Mencari program yang sama di institusi pengajian yang lain (IPTS). Buat permohonan melalui online atau walk in terus di Institusi tersebut. 
  • Berbincang dengan keluarga mengenai semua keputusan yang anda buat. Dapatkan second opinion dari mereka. 
  • Sekiranya anda tidak berminat untuk menyambung pengajian sekalipun, dan ingin terus bekerja. Jagalah hati kedua ibu bapa anda dengan berbincang untuk mendapatkan keizinan dan keredhaan mereka. 

Kesimpulan

Terdapat terlalu banyak peluang untuk anda menyambung pengajian selain melalui permohonan UPU. Sekiranya permohonan melalui UPU gagal, anda mempunyai banyak pilihan lain untuk mengejar cita-cita anda.

Jangan berputus asa kerana walaupun anda tidak berpeluang ke IPTA, masih ada IPTS, TVET serta Institut-institut yang menyediakan pelbagai program yang boleh anda pilih.

Powered by Blogger.