TVET Malaysia | Aliran Pendidikan Kemahiran


Assalammualaikum dan Salam Sejahtera.

Bulan Mac sememangnya ditunggu-tunggu oleh pelajar lepasan SPM dan juga ibu-bapa yang sentiasa mengharapkan yang terbaik untuk anak-anak mereka.

Begitu juga dengan guru-guru yang telah berhempas pulas melatih dan mendidik anak murid untuk mendapat kecemerlangan dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia. 

Tidak ketinggalan juga, pihak sekolah yang sangat-sangat berusaha bagi memastikan ranking sekolah mereka sentiasa di tahap yang boleh dibanggakan. 

Pada bulan Mac inilah segala penantian dan persoalan bakal terjawab dengan di-umumkan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia 2017. Semoga berjaya diucapkan kepada semua yang terlibat dalam penantian keputusan tersebut. 



Baiklah, umum tahu, bahawa sistem pendidikan di Negara ini mempunyai dua aliran utama iaitu:
  1. Aliran Akademik 
  2. Aliran Kemahiran 
Para pelajar akan mula menentukan aliran masing-masing seawal dari tingkatan 3 lagi, iaitu selepas menduduki Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) atau dahulunya dikenali sebagai Penilaian Menengah Rendah (PMR). 

Pada umur yang begitu muda, mereka telah diminta membuat pemilihan di antara ingin terus kekal mengikut laluan akademik ataupun bertukar ke laluan kemahiran demi masa depan mereka. 

Semua ini pasti dipengaruhi oleh beberapa faktor yang mampu mengubah pandangan dan penilaian para pelajar mahupun ibu-bapa. 

Kebanyakkan penulisan saya sebelum ini adalah berbicara mengenai aliran akademik iaitu, selepas PT3, ambil SPM, pelajar melanjutkan pengajian di peringkat diploma dan seterusnya Ijazah Sarjana Muda kemudian Ijazah Sarjana dan akhirnya ke peringkat PHD. 


Namun, wujud satu lagi aliran yang mempunyai laluan yang berbeza iaitu aliran kemahiran. Pada artikel kali ini, saya akan menyingkap secara ringkas mengenai laluan aliran kemahiran atau lebih dikenali sebagai TVET Malaysia. 

TVET Malaysia atau Pendidikan Teknikal & Kemahiran telah menjadi fokus utama kerajaan dengan mengiktiraf TVET sebagai teras ketiga di dalam Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) iaitu “Meningkatkan Pembangunan Modal Insan” di mana transformasi TVET dijadikan salah satu bidang fokus yang telah dikenalpasti.

Kerajaan telah menubuhkan institusi pendidikan teknikal dan kemahiran ini seawal tahun 60 an lagi. Bermula dengan hanya 4 institusi TVET pada sekitar tahun 1960an dan setelah lebih 45 tahun, telah ada lebih 1,300 institusi TVET Awam dan Swasta di seluruh negara.





Permulaan Aliran Pendidikan Kemahiran.

Seperti laluan akademik, para pelajar akan mengambil peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 atau PT3 di peringkat menengah rendah.

Selepas keputusan PT3 diperolehi, biasanya guru-guru akan memberi pendedahan dan nasihat kepada para pelajar mengenai kecenderungan mereka untuk mengikuti aliran akademik ataupun bertukar ke aliran kemahiran. 

Bagi pelajar yang lebih cenderung ke aliran kemahiran, mereka akan memasuki Kolej Vokasional (KV) atau Sekolah Menengah Teknik (SMT)

Bagi yang ingin meneruskan aliran akedemik, mereka akan meneruskan pembelajaran di sekolah menengah harian ataupun sekolah berasrama penuh ataupun Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) mengikut kelayakkan yang telah ditetapkan. 

Bagi laluan akademik, ada juga antara mereka telah memasuki sekolah berasrama penuh seawal tingkatan 1 dengan menggunakan keputusan UPSR. 

Pengenalan Kepada Aliran Pendidikan Kemahiran.

Bagi memudahkan pemahaman anda semua, aliran kemahiran ini terbahagi kepada 3 jenis iaitu:
  1. Aliran Teknik | Pelajar akan mengambil SPM. 
  2. Aliran Vokasional | Pelajar akan mengambil Sijil Vokasional Malaysia (SVM) & Diploma Vokasional Malaysia (DVM). 
  3. Aliran Latihan Kemahiran | Pelajar akan mengambil Sijil Kemahiran Malaysia. 




Pengenalan Kepada Institusi Latihan Awam (ILA)

Anda telah mengetahui jenis-jenis aliran dalam pendidikan kemahiran, kini anda perlu tahu pula di mana untuk mendalami ilmu kemahiran ini. 

Institusi latihan awam merujuk kepada sekolah-sekolah yang menawarkan latihan kemahiran berbanding pendidikan akademik. Juga dikenali sebagai kolej tanpa SPM. 

Pusat-pusat latihan vokasional di Malaysia ditawarkan untuk dua peringkat iaitu Peringkat Rendah dan Peringkat Tinggi. 


Aliran Pendidikan Kemahiran Peringkat Rendah

Pusat pendidikan kemahiran peringkat rendah ialah Sekolah Menengah Vokasional (Kolej Vokasional) dan Sekolah Menengah Teknik (SMT). Ia merupakan pusat pengajian menengah tinggi yang disertai pelajar bagi merancang perjalanan kerjaya mereka dengan lebih awal. 

Pelajar-pelajar sekolah menengah tingkatan tiga akan membuat permohonan di atas talian bagi kursus yang mereka minati. Laman permohonan ini kebiasaannya dibuka selepas pelajar-pelajar menerima keputusan peperiksaan percubaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) atau PT3. 

Pusat Latihan Kemahiran Peringkat Rendah terbahagi kepada dua jenis. 


Sekolah Menengah Teknik (SMT)
Sekolah Menengah teknik kebiasaannya memerlukan pencapaian akademik yang lebih baik. Mata pelajaran yang diajar di sekolah menengah teknik adalah lebih menjurus kepada teori berbanding praktikal. 

Pelajar-pelajar sekolah Teknik akan mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada penghujung penggal akhir. 

Pelajar-pelajar sekolah menengah jenis ini dibentuk supaya menjadi seorang jurutera atau memegang peranan besar dalam bidang mereka. Antara subjek yang dimuatkan dalam silibus ialah fizik, kimia, biologi dan lukisan kejuruteraan. Subjek-subjek ini boleh berubah mengikut kursus. 



Sekolah Menengah Vokasional (Kolej Vokasional) 
Kolej Vokasional dulu dikenali sebagai Sekolah Menengan Vokasional. Pada awalnya, sekolah vokasional menyediakan latihan kemahiran selama dua tahun. Kandungan pelajarannya terdiri daripada mata pelajaran teori dan amali. 

Pelajar-pelajar sekolah vokasional akan mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia Vokasional (SPMV) pada penghujung penggal akhir. Sekolah vokasional juga ada menawarkan satu lagi aliran iaitu kemahiran.

Dalam dasar baru pendidikan negara, kerajaan Malaysia telah menaik taraf ke semua sekolah menengah vokasional di negara ini. Ini bermakna sekolah menengah vokasional akan ditukar kepada Kolej Vokasional mulai tahun 2012. 

Jangka masa latihan telah dipanjangkan dari dua tahun kepada empat tahun dan pelajar akan menduduki peperiksaan bagi mendapatkan Diploma Vokasional Malaysia (DVM). Seperti dahulu, pelajar boleh menyertai kolej ini selepas tamat tingkatan tiga. 




Aliran Pendidikan Kemahiran Peringkat Tinggi

Bagi pelajar lepasan SPM yang tidak menyertai kemahiran peringkat rendah selepas PMR, mereka boleh memohon ke Institusi Kemahiran Awam selepas SPM. Untuk peringkat tinggi, ada beberapa institusi yang menawarkan pendidikan kemahiran seperti:

  1. Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) Oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran. 
  2. Jabatan Pertauliahan & Kemahiran Lanjutan (CIAST) Oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran
  3. Institut Latihan Perindustrian (ILP) Oleh Jabatan Tenaga Manusia. 
  4. Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Oleh Jabatan Tenaga Manusia. 
  5. Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Oleh Kementerian Belia & Sukan
  6. Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Oleh Kementerian Belia & Sukan
  7. Kolej Komuniti Oleh Kementerian Pengajian Tinggi. 
  8. Politeknik Oleh Kementerian Pengajian Tinggi. 
  9. Institut Kemahiran Mara (IKM) Oleh Majlis Amanah Rakyat. 
  10. Giat Mara (GM) Oleh Majlis Amanah Rakyat. 

Ke semua Aliran kemahiran peringkat tinggi ini menawarkan program peringkat sijil kemahiran atau Program peringkat diploma dan diploma lanjutan. Program yang ditawarkan terbahagi kepada beberapa peringkat atau tahap kemahiran iaitu:

  1. Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 1 (SKM 1) 
  2. Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 2 (SKM 2) 
  3. Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 3 (SKM 3) 
  4. Diploma Kemahiran Malaysia Tahap 4 (DKM 4) 
  5. Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysian Tahap 5 (DLKM 5) 



Selepas memiliki sekurang-kurangnya Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 3, anda boleh melanjutkan pengajian untuk menjadi Tenaga Pengajar Vokasional dengan mengikuti Kursus Sijil Pengajar Vokasional (VTO) yang dikendalikan oleh Jabatan Pertauliahan & Kemahiran Lanjutan (CIAST). 

Dengan memiliki sijil VTO ini anda layak untuk menjadi Tenaga Pengajar Vokasional (Pensyarah Vokasional) di Institusi Latihan Awam (ILA) seluruh Negara termasuk di Politeknik. Hanya pusat latihan seperti Politeknik sahaja yang menawarkan program di peringkat diploma dan juga Ijazah Sarjana Muda. 

Selain itu, ada banyak juga kolej-kolej swasta yang diberi kebenaran untuk menawarkan latihan kemahiran peringkat sijil (Sijil Kemahiran Malaysia ataupun Sijil Modular Kebangsaan).

Walau bagaimanapun, kebanyakannya hanya menawarkan sehingga SKM Tahap 2 berbanding institusi kerajaan yang menyediakan sehingga Diploma Lanjutan Kemahiran Tahap 5.





Bidang Kemahiran Yang Ditawarkan

Tidak seperti laluan akademik yang menawarkan pelbagai bidang dalam jurusan pengurusan & professional, kebanyakkan bidang dalam laluan kemahiran adalah bercirikan jurusan pelaksanaan dan teknikal. 

Antara bidang yang ditawarkan di peringkat Sekolah Menengah Teknik ialah:
  1. Kejuruteraan mekanikal 
  2. Kejuruteraan awam 
  3. Kejuruteraan elektrik 
  4. Perdagangan 
  5. Ekonomi Rumah Tangga 
  6. Pengurusan makanan 
  7. Sains pertanian dan sebagainya. 

Bagi aliran Kolej Vokasional pula, bidang yang ditawarkan ialah:
  1. Kursus Automotif 
  2. Kursus Elektrikal dan elektronik 
  3. Kursus Penyejukan dan penyamanan udara 
  4. Kursus Amalan bengkel mesin 
  5. Kursus Kimpalan 
  6. Kursus Katering 
  7. Kursus Binaan bangunan 
  8. Kursus Senireka fesyen 
  9. Kursus Dandanan seni kecantikan 
  10. Kursus Pengurusan ladang 
  11. Kursus Pengurusan perniagaan 
  12. Kursus Pelancongan. 
  13. Kursus Perkhidmatan dan perkembangan kanak-kanak 
  14. Kursus Bakeri 
  15. Kursus Pengaturcaraan komputer 
  16. Kursus Pengurusan teknologi pejabat 
  17. Kursus Hortikultur hiasan dan lanskap serta kejenteraan ladang. 

Bagi aliran Sijil Kemahiran Malaysia pula seperti:
  1. Mekanik kenderaan motor 
  2. Jurukerja paip 
  3. Jurubina bangunan 
  4. Pembuat perabot 
  5. Pelukis pelan senibina 
  6. Pelukis pelan mekanikal 
  7. Juruteknik elektrik rendah 
  8. Jurukimpal arka logam berperisai 
  9. Juruteknik rendah elektronik industri – peralatan 
  10. Mekanik teknologi elektronik radio dan video 
  11. Pembantu penyedia makanan 
  12. Pembuat pakaian wanita 
  13. Pendandan rambut muda 
  14. Jurukecantikan 
  15. Pekerja am pertanian 
  16. Pemesin am 

Kursus yang ditawarkan dalam Pendidikan Vokasional Peringkat Tinggi adalah lebih luas dengan pelbagai bidang baru diperkenalkan seperti:
  1. Fotografi 
  2. Percetakan 
  3. Grafik
  4. Hospitaliti 
  5. Perkomputeran
  6. Pengaturcaraan perisian 
  7. Teknologi permainan video 
  8. Kecantikan 
  9. Marin 
  10. Kenderaan seperti lori dan motosikal 
  11. Penyelenggaraan kapal terbang 
  12. Terapi sukan 
  13. Kejuruteraan elektrik dan elektronik 



Masa Depan Dalam Aliran Kemahiran

Pelajar Kolej Vokasional akan diberikan Sijil Vokasional Malaysia (SVM) setelah tamat program mereka.

Melalui penyetaraan SVM dengan SPM pelajar yang layak akan berpeluang melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti awam atau swasta dengan menggunapakai SVM yang telah disetarakan, namun masih tertakluk kepada syarat yang ditetapkan oleh IPT tersebut. 

Diploma Vokasional Malaysia (DVM) pula adalah persijilan bagi program Kolej Vokasional. Ia adalah program yang diiktiraf oleh MQA, kerana untuk melaksanakannya, Akta Pendidikan telah dipinda dan pindaannya telah diluluskan di Dewan Rakyat pada 1 April 2015 dan di Dewan Negara pada 29 April 2015 dan berkuatkuasa mulai 1 Januari 2012. 

Akta Pendidikan (Pindaan) 2014 secara rasminya meluluskan pelaksanaan program Kolej Vokasional (KV) selama 4 tahun 3 bulan. Kebanyakkan Program KV juga sedang melaksanakan pemantapan dan penambahbaikan untuk mendapat pengiktirafan penuh MQA. 

KPM ingin memaklumkan bahawa kesemua 16 program yang ditawarkan oleh 15 Kolej Vokasional Rintis secara dasarnya telah mendapat perakuan Certification of Quality Compliance (CQC) oleh MQA pada 12 Februari 2015 

Pelajar juga boleh memilih untuk meningkatkan kemahiran ke tahap lebih tinggi melalui Institusi Tinggi Latihan Kemahiran (ILK). 




Untuk tujuan melanjutkan pelajaran ke Universiti atau IPT, laluan alternatif bagi pelajar lepasan DVM yang tidak memiliki kelayakkan setara dengan SPM adalah dengan melanjutkan pengajian melalui Pengkreditan Pengalaman – Pembelajaran Terkumpul (APEL - Acreditation Prior Experiential Learning) dengan menggunakan pengalaman bekerja di industri selama 2 tahun 

Bagi pemegang SPMV dan DVM, mereka juga berpeluang melanjutkan pengajian ke universiti atau institusi pengajian kemahiran tinggi yang lain seperti ADTEC, JMTI dan Institut Kemahiran Tinggi MARA

Manakala Pelajar sekolah menengah teknik kebiasaannya akan memohon tempat ke universiti atau matrikulasi selepas SPM. Mereka yang ingin menjadi jurutera atau saintis akan melanjutkan pengajian sehinggan ke peringkat ijazah. 

Pelajar Kejuruteraan dari Sekolah Menengah Teknik juga boleh mencapai tahap pendidikan yang tertinggi sehingga ke peingkat Doktor Falsafah (Ph.D) dan bekerja dengan gaji yang besar. 

Pemegang SKM pula boleh meningkatkan tahap sijil mereka ke tahap seterusnya dan bagi pemegang sijil penuh, mereka boleh menyambung pelajaran untuk Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) dan Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM) atau sering kali disebut SKM 4 & 5. Pinjaman Tabung Pengajian Kemahiran (PTPK) turut disediakan kerajaan bagi pelajar. 




Kesimpulannya

Diharapkan dengan penerangan yang ringkas ini, para pelajar serta ibu bapa dapat memahami aliran pendidikan kemahiran ini dengan lebih baik lagi. Di Malaysia, aliran pendidikan jenis kemahiran ini lebih ditumpukan kepada pelajar yang berpencapaian rendah

Walau bagaimanapun, dasar baru kerajaan telah mengangkat pendidikan vokasional ke tahap yang lebih tinggi dan tidak lagi dianggap sebagai pendidikan kelas kedua. 

Penjenamaan aliran kemahiran yang lebih dikenali sebagai TVET Malaysia ini boleh dilihat sebagai satu usaha bagi memantapkan koloborasi di antara semua pihak berkepentingan dalam bidang TVET di semua peringkat, di samping dapat mempromosi TVET sebagai pendidikan pilihan dan kerjaya masa depan yang lumayan dan mempunyai potensi yang tinggi.

Peranan ibu-bapa amat penting dalam membantu anak mereka membuat pemilihan. Setiap anak yang lahir ke dunia ini mempunyai kebolehan yang tersendiri dan tidak seharusnya kita sebagai ibu bapa membanding-bandingkan mereka dengan orang lain. 

Andai kecenderungan mereka ke arah pendidikan aliran akedemik, kita beri sokongan. Begitu juga andai mereka lebih cenderung ke arah pendidikan aliran kemahiran kita juga perlu memberi sokongan dan galakkan yang padu demi masa depan mereka.


Powered by Blogger.