06 Alat Untuk Belajar Rekaan Grafik


Peralatan Rekaan Grafik

Artikel kali ini adalah untuk meraikan soalan dari ibu-bapa yang bertanya mengenai peralatan dan barang-barang keperluan untuk anak-anak mereka yang menyambung pengajian dalam bidang senilukis dan senireka terutamanya senireka grafik

Banyak pertanyaan melalui WhatApps yang saya jawab memfokuskan bidang rekaan grafik sahaja, namun ia juga relevan untuk bidang senireka yang lain. Mix and Match sendiri ye. Alhamdulillah, program rekaan grafik semakin mendapat sambutan dan pastinya ibu-bapa mula nampak peluang kerjaya dalam bidang ini.

Pada kebiasaanya, para pensyarah akan memberi taklimat berkenaan dengan peralatan dan barangan yang diperlukan mengikut subjek mereka di dalam kuliah masing-masing.

Oleh yang demikian saya hanya akan memberikan penerangan mengenai peralatan dan barangan yang asas sahaja. Antara peralatan yang perlu ada, antaranya ialah:


#01 Komputer 
syahrulasriomar.blogspot.com



Komputer adalah alat yang paling banyak digunakan dalam pembelajaran rekaan grafik. Kira-kira 90% daripadanya menggunakan komputer termasuk penggunaan perisian-perisian.

Persoalan komputer jenis yang mana diperlukan, laptop atau desktop? Sistem operasi Mac atau Windows? Jenama apa yang dicadangkan dan spesifikasi yang bagaimanakah sesuai untuk belajar rekaan grafik?.

Itu adalah antara pertanyaan ibu bapa yang risau tentang keperluan anak mereka. Alhamdulillah, itu adalah salah satu peranan ibu-bapa untuk membantu anak-anak mereka. Biasanya saya akan jawab dengan satu persoalan ringkas iaitu 'Berapakah budget tuan-puan untuk sebuah komputer? '

Untuk tujuan pembelajaran, bekalkan anak tuan-puan mengikut kemampuan tuan puan sendiri. Andai mampu berikan laptop, belikan satu. Andai mampu berikan desktop, belikan satu.

Nak beli yang mana satu? Andai budget RM seribu, belikan yang harga seribu, andai ada kemampuan RM 3 ribu, maka belikan yang berharga 3 ribu.

Walaupun pada kebiasaannya, industri rekaan grafik lebih mencadangkan sistem operasi Machintosh atau MAC namun ia bukanlah satu kewajipan.

Operasi windows juga boleh digunakan. Pastinya setiap institusi yang menjalankan program rekaan grafik mempunyai Komputer Lab yang mempunyai komputer i-Mac mereka sendiri. Ia adalah satu keperluan dari MQA.

Justeru itu, anak tuan-puan tidak akan ketinggalan dalam arus kemodenan industri grafik kerana dia tetap akan didedahkan dengan penggunaan komputer i-Mac. Hakikatnya kehebatan seorang pereka grafik bukan pada peralatannya semata-mata, ia lebih daripada itu.


#02 Storage Devices. 


Biasanya selain dari komputer, saya juga mencadangkan tuan-puan untuk membeli ‘external hard disk’ dan ‘thumb drive’ untuk menyimpan segala data atau artwork yang telah selesai dibuat. Ada dua kebaikkan utama yang saya lihat.
  1. Komputer tidak menjadi berat dan lambat serta tidak perlu di ‘upgrade’ sentiasa.
  2. Setiap data atau artwork mempunyai back-up seandainya berlaku sesuatu kepada komputer. 
Belikan storage devices yang tidak terlalu besar dan tidak terlalu kecil kapasitinya. Dan pastikan ia tahan lama dan menjimatkan RM tuan puan.

#03 Kamera DSLR 


Betul dan benar bahawa kamera jenis ini diperlukan kerana terdapat subjek yang memerlukan penggunaan kamera ini selain dari subjek fotografi itu sendiri. 

Pelaburan membeli kamera ini pastinya bukan bernilai RM seratus dua, malahan ia melibatkan pelaburan wang ringgit yang banyak.

Jadi, dicadangkan tuan-puan membeli kamera yang ‘second hand’ di Mudah.my atau di mana-mana kedai yang menjual kamera second hand. Sekiranya ada budget untuk membeli yang baru, juga dipersilakan.

Belilah kamera DSLR yang asas sahaja dahulu, tidak perlu membeli lensa yang pelbagai untuk peringkat pembelajaran ini. Jenama NIKON atau Canon biasanya dicadangkan untuk dibeli.


#04 Printer 



Tujuan saya cadangkan tuan-puan membeli sebuah printer ialah untuk tujuan penjimatan. Penjimatan dari segi kewangan dan juga masa. Printer yang saya cadangan biasanya ialah jenis laser jet dan mampu mencetak kertas bersaiz A3.

Dalam proses pembelajaran, artwork pelajar biasanya perlu dicetak untuk ditunjukkan kepada pensyarah. Andai pensyarah ‘reject’ artwork berkenaan, para pelajar perlu mencetak lagi dan lagi sehingga ke final artwork.

Begitu juga dengan masa, biasanya waktu operasi kedai cetak sehingga jam 10 malam sahaja. Para pelajar pula biasanya mula menghasilkan artwork bermula jam 8 malam sehingga 4 ke 5 pagi. Jadi, sekiranya mempunyai printer sendiri, maka amat menjimatkan masa tanpa perlu ke kedai cetak.

#05 Peralatan Melukis & Mewarna. 



Peralatan ini biasanya banyak diguna pakai pada semester pertama dan kedua untuk subjek lukisan. Tuan-puan boleh membeli secara borong di pasaraya MYDIN atau di mana-mana supermarket. Harga di kedai buku atau kedai alat tulis biasanya agak mahal.

Walaupun ada yang berkualiti dan tidak, namun kualiti individu itu lebih utama dari kualiti peralatan. Tuan-puan faham kan maksud saya? Antara peralatan yang diperlukan ialah :
  • Set Pencil ( dari H hingga ke 8B) 
  • Water color 
  • Poster color 
  • Oil paint 
  • Soft / hard pastel 
  • Charcoal 
  • Pembaris besi 
  • Pisau / Cutter 
  • Cutting map 


#06 Peralatan Rendering Marker & Graphic Pen.




Peralatan ini adalah menggantikan pencil dan pencil warna. Dalam rekaan grafik, kami mengalakkan pelajar kami membuat lakaran dengan menggunakan graphic pen dan mewarna menggunakan rendering marker. 





Kesimpulannya.

Jujur saya katakan bahawa kos untuk mempelajari rekaan grafik kini sememangnya agak tinggi. Selain dari yuran pengajian yang kompetatif antara RM 3000 hingga RM 6000 ringgit untuk satu semester, kos membeli peralatan dan barang-barang juga mencecah ribuan ringgit.

Kos penyediaan artwork seperti percetakkan, finishing dan sebagainya juga perlu dikira untuk setiap projek dalam setiap subjek pada setiap semester.

Walaubagaimanapun, sesungguhnya setiap bidang pastinya mempunyai kos yang tersendiri, dan ia seharusnya tidak menjadi penghalang utama untuk mempelajari bidang tersebut.

Di sebabkan itulah, khidmat rekaan grafik tidak boleh menjadi PERCUMA kerana untuk mempelajarinya memerlukan modal yang tinggi. Kenapa ia perlu diberi PERCUMA sedangkan segalanya mempunyai kos tersendiri?



Sebagai seorang pereka grafik yang tulen, kita perlu memperjuangkan industri ini akan ia kekal relevan di masa hadapan.

Walaupun telah wujudnya ‘open source’ yang dikatakan mampu menggantikan tempat pereka grafik seperti Canva dan sebagainya. Namun pada pendapat saya, pengetahuan penggunaan elemen dan principal pada masa dan tempat yang tepat hanya mampu dilakukan oleh manusia sahaja.

Powered by Blogger.