Graduan & Pelajar : Perkara Yang Penting Tapi Selalu Dipinggirkan.



Semasa kita di alam persekolahan, apa yang difokuskan oleh kita biasanya hanyalah ingin melanjutkan pengajian, belajar betul-betul, nak masuk universiti, nak ambik jurusan itu dan ini.

Pihak sekolah pula begitu memfokuskan keputusan peperiksaan pelajar masing-masing demi meningkatkan nama sekolah agar dikenali sebagai sekolah elit dan sebagainya.

Ada pelajar yang berjaya sambung pengajian tidak kiralah ke peringkat sijil kemahiran, diploma mahupun ijazah. Ada juga pelajar yang tidak berpeluang dan terus terjun ke alam kerjaya dengan kelayakkan SPM mereka.

Graduan yang terpilih melanjutkan pengajian ke menara gading pula berhempas pulas dalam menamatkan pengajian masing-masing demi sebuah jaminan pekerjaan sekiranya mendapat CGPA yang baik.

Namun, ironinya, ramai yang lebih menitikberatkan persoalan kemahiran hidup berbanding tujuan hidup itu sendiri. Akibat tidak memiliki tujuan hidup yang pasti, ramai yang gagal memanfaatkan masa, tenaga dan sumber yang dikurniakan Allah secara optimum.


Akibat tidak memiliki tujuan hidup yang pasti, ramai yang gagal memanfaatkan masa, tenaga dan sumber yang dikurniakan Allah secara optimum.


Ada juga yang telah mempunyai kemahiran setinggi peringkat ijazah namun masih menganggur atau bekerja bukan dalam bidang yang dipelajarinya. Ada juga yang hilang arah tujuan sehingga terlibat di dalam aktiviti haram dan tidak bermoral.

Ya, bagaimana kita akan temui sesuatu yang tidak kita ketahui atau kenali? Benarlah seperti yang sering diungkapkan, masalah kita bukanlah kerana tidak boleh berjaya tetapi kita tidak tahu apa erti kejayaan sebenarnya. Ramai yang mencari sesuatu yang tidak pasti.

Jawapan kepada persoalan kenapa kejayaan dirasakan bukan milik kita ialah.... 
VISI & MISI HIDUP.




Pengalaman saya sebagai seorang pensyarah selama 8 tahun telah membuka mata saya bahawa visi dan misi hidup perlu ditentukan dahulu oleh setiap pelajar atau lebih tepat lagi oleh setiap manusia. 

Tanpa visi dan misi ini, seseorang menjadi seperti kapal yang tidak tahu ke pelabuhan mana yang hendak dituju. Hidup tidak tentu arah.

Ada pelajar saya yang kecundang di awal perjuangan, ada juga yang kecundang di pertengahan dan akhir perjuangan. Hakikat sebenarnya, bukan minat semata-mata yang menjadi penghalang, malah tujuan hidup mereka yang kabur juga menjadi penyebab utama.

Sedarkah kita bahawa ramai manusia yang hidup di atas muka bumi ini hidup tanpa arah tujuan seperti mana pemain bola sepak yang bermain bola tanpa tiang gol. Mereka jadi aimless (tidak ada tujuan), meaningless (tanpa pengertiaan), dan emptiness (kekosongan).

Mereka jadi aimless (tidak ada tujuan), meaningless (tanpa pengertiaan), dan emptiness (kekosongan).


Semua itu akan menjurus kepada lembah kekecewaan, kebosanan, tekanan dan ketegangan yang melampau. Kita seperti mencari sesuatu yang disangka dapat memberi kebahagiaan, malangnya apabila kita sudah memilikinya, dirasakan itu bukan yang kita cari selama ini.

Saranan saya, sebelum anda semua tamat persekolahan (peringkat menengah) atau bergraduasi (peringkat universiti), adalah lebih baik anda duduk dan tulis apakah visi dan misi hidup anda. Apa yang anda ingin jadi selepas ini? bagaimana kehidupan yang anda impikan? Misi hidup menentukan cara hidup kita.

Sekian.

Powered by Blogger.